ad

Sindiket pasport palsu tumpas, lima warga Bangladesh ditahan

3 Sep 2025, 7:55 AM
Sindiket pasport palsu tumpas, lima warga Bangladesh ditahan
Sindiket pasport palsu tumpas, lima warga Bangladesh ditahan
Sindiket pasport palsu tumpas, lima warga Bangladesh ditahan

PUTRAJAYA, 3 SEPT: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen dalam Operasi Khas di dua lokasi di Jalan Jelawat dan Jalan Razak Mansion, Kuala Lumpur semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi pada 9.40 pagi itu dijalankan hasil risikan tiga minggu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Dalam serbuan tersebut, kita berjaya menahan lima lelaki warganegara Bangladesh berusia antara 19 hingga 41 tahun, termasuk dua yang dipercayai dalang utama sindiket tersebut,” katanya pada sidang media mengenai operasi khas itu di sini hari ini.

Beliau berkata semakan awal mendapati tiga daripada mereka memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di bawah sektor pembinaan, seorang memiliki Pas Pelajar manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah.

Zakaria berkata pasukan operasi turut menyita pelbagai dokumen dan peralatan dipercayai digunakan untuk menghasilkan pasport palsu.

Ia termasuk lapan pasport Bangladesh, satu pasport India, tiga pasport Bangladesh disyaki palsu, empat pasport Indonesia disyaki palsu, set komputer, set pencetak, muka surat pasport pelbagai negara, kulit pasport, dakwat, peralatan pemotong, 11 telefon bimbit, wang tunai RM2,100 serta sebuah kenderaan jenis Perodua Aruz.

Mengenai modus operandi sindiket itu, Zakaria berkata pasport palsu digunakan khusus untuk melepasi pemeriksaan kesihatan FOMEMA.

“Individu yang sepatutnya, tidak hadir ke klinik panel sebaliknya menggunakan pasport palsu dengan butiran baharu namun memaparkan wajah sebenar mereka dan selepas pemeriksaan selesai, pasport itu dibuang atau dilupuskan...setiap pasport dikenakan bayaran antara RM150 hingga RM250,” katanya.

Beliau berkata sindiket itu juga tidak tertumpu kepada satu klinik sahaja.

“Orang yang sama menggunakan pasport palsu berbeza hadir ke klinik A. Selepas itu, individu sama akan menggunakan pasport lain bagi pihak orang lain pula untuk ke klinik B, kemudian berulang ke klinik seterusnya. Itu taktik mereka bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Zakaria berkata sindiket yang dipercayai aktif sejak tiga bulan lepas itu menjadikan kediaman mewah sebagai pusat operasi bagi mengelakkan dikesan dan menggunakan ejen warga Bangladesh untuk mencari pelanggan yang memerlukan dokumen tersebut.

Beliau berkata semua warga asing terbabit ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.