ad

MB: Penyewa Pusat Akuatik Darul Ehsan dikecuali bayaran, diberi kemudahan alternatif

3 Sep 2025, 7:26 AM
MB: Penyewa Pusat Akuatik Darul Ehsan dikecuali bayaran, diberi kemudahan alternatif

SHAH ALAM, 3 SEPT: Penyewa di Pusat Akuatik Darul Ehsan (PADE) dikecualikan bayaran termasuk disediakan kemudahan alternatif sepanjang tempoh kerja menaik taraf untuk penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Dato’ Menteri Besar berkata kerja pembaikan menyeluruh di PADE berjalan lancar bagi memastikan fasiliti tersebut bersedia menerima ribuan atlet, pegawai dan pengunjung pada Ogos tahun depan.

"Alhamdulillah, setakat ini kerja menaik taraf infrastruktur sukan termasuk stadium, dewan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan PADE berjalan mengikut jadual, Insya-Allah siap menjelang Mac 2026," kongsi Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook, hari ini.

Beliau berkata SUKMA bukan sahaja medan persaingan atlet, malah menjadi pemangkin ekonomi negeri khususnya dalam sektor pelancongan, perhotelan, logistik, perkhidmatan serta peniaga kecil.

"Dengan infrastruktur moden, persiapan rapi serta sokongan rakyat, Selangor optimis mengulangi kegemilangan sebagai juara dan menjadikan SUKMA 2026 kejohanan kebanggaan negeri dan seluruh Malaysia," ujarnya.

SUKMA Selangor 2026 akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026, manakala Para SUKMA dijadualkan pada 5 hingga 14 September 2026.

Helang putih dipilih sebagai maskot rasmi, manakala obor angka Romawi XXII diangkat sebagai logo temasya edisi ke-22 ini.

Penganjuran melibatkan sembilan daerah dan 12 PBT di seluruh Selangor, kecuali acara berbasikal trek yang akan berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.

Sebanyak 37 sukan wajib dan tujuh sukan tambahan akan dipertandingkan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.