ad

Jangan malas tuntut ilmu, jangan ganggu peranan UiTM- Tengku Permaisuri Norashikin

3 Sep 2025, 6:04 AM
Jangan malas tuntut ilmu, jangan ganggu peranan UiTM- Tengku Permaisuri Norashikin
Jangan malas tuntut ilmu, jangan ganggu peranan UiTM- Tengku Permaisuri Norashikin

SHAH ALAM, 3 SEPT: Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin mengingatkan generasi muda, khususnya graduan, supaya tidak malas menuntut ilmu kerana pendidikan ialah proses berterusan yang sentiasa berkembang.

Baginda bertitah, hanya mereka yang gigih berusaha akan diberi petunjuk oleh Allah SWT dan tiada istilah berhenti belajar selepas tamat pengajian.

“Pendidikan harus terus dijadikan agenda utama negara yang wajib diperkasa, bersesuaian dengan kehendak zaman dan keperluan masyarakat.

“Pendidikan bukan sekadar untuk melahirkan tenaga kerja, tetapi untuk membina bakat manusia yang berakhlak dan berjiwa merdeka,” titah baginda ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen UiTM ke-102 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) Shah Alam, hari ini.

Dalam pada itu, baginda turut menasihatkan generasi muda agar lebih bijak mengurus keterbukaan maklumat di media sosial.

“Elakkan fitnah, berita palsu dan perbalahan yang boleh menggugat keharmonian negara. Ingatlah, jika baik penggunaannya, baiklah hasilnya; jika buruk, padahlah akibatnya,” titah baginda.

Tengku Permaisuri Norashikin pada masa sama menitahkan supaya kedudukan dan peranan asal UiTM tidak diganggu-gugat, memandangkan institusi itu terbukti berjasa besar dalam membina jati diri bangsa Melayu serta Bumiputera melalui pendidikan tinggi.

“Syabas UiTM kerana masih kekal relevan dalam usaha membangunkan anak bangsa. Penubuhan dan pembentukannya dalam melindungi hak Melayu, Orang Asli serta anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak yang selari dengan Akta 173 (1A), menurut dan mengikut Peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang akan terus dipelihara dengan utuh.

“Justeru, saya berharap tiada mana-mana pihak mengganggu-gugat kedudukan dan peranan asal universiti ini,” titah baginda.

Pada istiadat itu, baginda turut mengurniakan ijazah doktor falsafah dan sarjana kepakaran klinikal kepada 237 graduan pascasiswazah, selain merakamkan ucapan tahniah kepada 24,643 graduan yang menamatkan pengajian pada konvokesyen kali ini.

“Syabas dan tahniah diucapkan. Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih anda semua, termasuk doa ibu bapa dan penjaga, pasangan serta bimbingan pensyarah dan warga universiti. Jadikan hari ini sebagai titik mula untuk terus menabur bakti dan kembali menyumbang kepada masyarakat dengan penuh amanah.

“Teruskan komitmen terhadap kecemerlangan. Galaslah tanggungjawab dengan penuh iltizam. Jangan sekali-kali berkompromi terhadap kualiti. Universiti ini harus kekal menjadi benteng ilmu untuk anak bangsa, yang menjadi pelita menerangi jalan pembangunan negara,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan tahniah kepada Dr Ahmad Sazali Hamzah yang dikurniakan gelaran Profesor Emeritus atas sumbangan besar beliau memperkasa pendidikan, penyelidikan dan memartabatkan UiTM di peringkat antarabangsa.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.