ad

Bangkit dari luka dibuli, wanita kerdil buktikan ilmu boleh ubah kehidupan

4 Sep 2025, 4:00 AM
Bangkit dari luka dibuli, wanita kerdil buktikan ilmu boleh ubah kehidupan
Bangkit dari luka dibuli, wanita kerdil buktikan ilmu boleh ubah kehidupan
Bangkit dari luka dibuli, wanita kerdil buktikan ilmu boleh ubah kehidupan
Bangkit dari luka dibuli, wanita kerdil buktikan ilmu boleh ubah kehidupan
Bangkit dari luka dibuli, wanita kerdil buktikan ilmu boleh ubah kehidupan

Dilahirkan kerdil bukanlah pilihan. Namun sejak kecil, Munirah Ilias, 43, sudah terbiasa menelan pahitnya perbezaan.

Dengan ketinggian hanya 126 sentimeter, langkahnya mungkin kecil, tetapi semangat yang membara dalam diri melebihi ujian yang pernah singgah.

Keluarga sentiasa menjadi api semangat, meniup keyakinan bahawa dia juga berhak diberi peluang sama seperti insan lain.

Namun, dunia luar tidak selalu indah. Di sekolah, setiap langkahnya kerap disambut dengan tawa sinis.

Ejekan tentang fizikalnya menjadi bayangan hitam yang menghantui setiap hari. Apa yang dianggap gurauan oleh rakan-rakan, baginya luka yang menikam jiwa.

Munirah Ilias selaku Ketua Jabatan Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran menyampaikan ucapan dalam majlis di Universiti Selangor. Foto Koleksi Peribadi Munirah Ilias

“Masa nak ke tandas pun saya takut sebab kena lalu depan kelas lain. Mereka berkerumun nak tengok. Saya jadi tak selesa.

“Buli itu bukan fizikal tapi emosi — melalui kata-kata yang menghiris, ejekan dan gelak tawa,” katanya yang satu-satunya berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) kerdil dalam keluarga.

Namun dalam gelap, ada cahaya kecil. Beberapa guru tidak pernah jemu meniup keyakinan, menyuntik semangat agar dia terus belajar.

Ada segelintir kawan pula sudi berkawan tanpa prejudis. Walaupun sedikit, merekalah penyelamat yang membuatkan Munirah percaya sekolah itu tidak sepenuhnya kejam.

Munirah bersama ibu bapa pada Majlis Konvokesyen bagi pencapaiannya mendapat Ijazah Sarjana Komunikasi Kepengurusan di UUM pada 2009. Foto Koleksi Peribadi Munirah Ilias

Sisi berbeza

Di sekolah, anak kedua daripada lima beradik itu belajar memendam rasa. Tetapi sebaik pulang ke rumah, segalanya berubah.

Di sisi keluarga, dia bukan gadis kecil yang diejek, sebaliknya dihormati dan menjadi penguat semangat adik-adik.

“Masa itu kakak sulung saya duduk asrama, jadi saya ambil alih peranan. Ibu beri tanggungjawab urus rumah, adik-adik pula hormat saya.

“Saya rasa selesa dan dihargai. Tapi bila ke sekolah, semuanya hilang. Dunia jadi gelap, sangat menakutkan,” katanya sebak.

Ibunya, Che Mah Che Omar, 73, tidak pernah putus berdoa. Kakaknya, Prof Madya Dr Kartini pula menjadi pelindung setia.

Professor Madya Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Dr Kartini Ilias bercakap kepada wartawan ketika di temubual di Puncak Alam, Kuala Selangor pada 17 Ogos 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Saya masih ingat, masa dia kecil, saya hantar dia ke sekolah dengan basikal.

“Dia kecil, muat dalam bakul depan. Setiap kayuhan, saya berdoa semoga Allah lindungi dia,” katanya.

Dalam diam bapanya, Ilias Ibrahim, 79, juga menjadi benteng kekuatan. Walaupun jarang bersuara, kasihnya nyata pada tindakan.

“Dulu adik saya perlukan meja khas bila masuk darjah satu sebab terlalu rendah. Ayah sanggup pergi sampai ke Thailand semata-mata mencari meja itu,” katanya sebak.

Selain keluarga, jiran-jiran juga menjadi penyokong senyap. Mereka tidak pernah memandang pelik, malah sering menghulur tangan bila diperlukan.

Ada yang sudi menghantar ke sekolah, ada yang menitipkan kata-kata semangat. Semua itu menjadikan Munirah rasa diterima, seolah-olah dunia kecilnya tidak pernah sunyi daripada kasih sayang.

“Sokongan kecil itu sangat besar maknanya. Saya belajar bahawa kasih sayang tidak hanya lahir daripada darah, tetapi juga daripada ikatan kejiranan,” katanya.

Munirah Ilias bersama pelajar di Majlis Apresiasi untuk penasihat kelab di Universiti Selangor. Foto Koleksi Peribadi Munirah Ilias

Dunia maya

Namun saat jiwanya terlalu penat, Munirah berlindung dalam dunia maya. Di alam tanpa wajah itu, dia bebas menjadi “biasa”. Tiada mata memandang pelik, tiada mulut menyindir.

“Saya tak pernah letak gambar sendiri. Saya nak berkawan di media sosial sebagai orang lain.

“Masa tu saya tak terima diri sendiri. Saya lebih gembira bila orang anggap saya normal,” katanya.

Namun, perjalanan hidup sentiasa membuka ruang baharu. Di universiti, keyakinan itu perlahan-lahan bertunas.

Dia mula berani menunjukkan wajah sebenar, menggunakan nama sendiri dan belajar menerima kekurangannya.

“Sekarang saya terima diri sendiri. Kalau ada yang nak berkawan, Alhamdulillah. Kalau tak, tak apa. Saya tetap jadi diri saya,” katanya.

Munirah Ilias bersama ibu dan adik beradiknya ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 2024. Foto Koleksi Peribadi Munirah Ilias

Jadi inspirasi

Hari ini, Munirah bukan lagi gadis kecil yang menahan tangis di hujung koridor sekolah. Dia kini pensyarah di Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor.

Lebih membanggakan, dia sedang melakar sejarah peribadi dengan menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang komunikasi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Ijazah Sarjana Komunikasi dalam Organisasi UUM.

Baginya, ilmu bukan sekadar gelaran. Ia perisai yang mengangkat maruah dan mengubah pandangan dunia terhadap individu istimewa.

“Ilmu itu mengangkat kita. Jangan biarkan ejekan atau kekurangan mematahkan semangat. Terus belajar, terus berjuang,” pesannya penuh tegas.

Munirah percaya, tanpa sokongan keluarga, jiran, guru dan rakan yang ikhlas sejak kecil, mungkin dia tidak mampu berdiri sekuat hari ini.

Wanita asal Pasir Mas, Kelantan ini menjadi saksi bahawa buli hanya berkuasa jika dibiarkan berakar.

Namun apabila kita memilih untuk bangkit, luka itu boleh berubah menjadi cahaya, menerangi jalan baharu yang lebih indah.

Professor Madya Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Dr Kartini Ilias dan Pensyarah Jabatan Komunikasi, Universiti Selangor (Unisel) Munirah Ilias di temubual oleh wartawan di Puncak Alam, Kuala Selangor pada 17 Ogos 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Realiti berbeza

Walaupun kisah Munirah sarat dengan luka, realitinya landskap buli zaman dahulu dan sekarang jauh berbeza.

Jika dahulu insidennya mungkin tersembunyi. Kini, kes buli semakin membimbangkan dengan ada kes berakhir dengan kematian dan kecederaan. Dunia maya pula membuka ruang penghinaan tanpa sempadan.

Perbezaan ini mengingatkan kita bahawa isu buli tidak boleh dipandang ringan. Ia menuntut empati, perhatian dan tindakan bersama agar tiada lagi mangsa yang terpaksa menelan luka sendirian.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.