KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Polis menyerbu 395 premis perjudian yang disyaki beroperasi tanpa lesen di seluruh negara menerusi Op Dadu Mega, Sabtu dan Ahad lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar berkata daripada jumlah tersebut, 272 premis menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen melibatkan 245 premis penjualan loteri awam, perjudian dalam talian (20), pusat hiburan keluarga (lima) dan dua premis yang dijadikan pusat panggilan (calling centre) untuk aktiviti perjudian.
“Hasil serbuan itu, 328 orang iaitu 286 lelaki dan 42 orang wanita disyaki pemilik, penjaga premis dan pekerja premis serta pemain dalam aktiviti perjudian tersebut ditahan.
“Kesemua yang ditahan terdiri daripada 258 warga tempatan dan 70 warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya turut merampas sejumlah wang tunai, beberapa peralatan komputer, telefon bimbit dan mesin perjudian.
Kumar berkata kesemua individu yang ditahan dibawa ke ibu pejabat polis daerah berkaitan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 melibatkan Seksyen 4A(a), Seksyen 9(1), Seksyen 4B(a), Seksyen 4(1)(b), Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(g).
“Kes terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Hiburan /Ordinan Hiburan Negeri,” katanya.
- BERNAMA