SHAH ALAM, 2 SEPT: Krisis rusuhan yang tercetus di Indonesia sejak 25 Ogos lalu tidak hanya memberi kesan dalam negara, sebaliknya turut memperlihatkan hubungan dua hala antara Indonesia dan Malaysia semakin kukuh.
Menurut wartawan Republika, Lida Puspaningtyas, 36, krisis berkenaan menjadi pemangkin kepada solidariti masyarakat Malaysia yang tampil menyatakan sokongan, termasuk mengirim makanan kepada pemandu grab dan ojek dalam talian di Jakarta.
"Malah mahasiswa di Malaysia juga ada lakukan demonstrasi menuntut pembebasan mahasiswa Indonesia yang ditahan. Itu kami anggap sebagai sokongan emosi yang memperkuat solidariti kedua-dua negara," katanya ketika dihubungi Media Selangor hari ini.
Lida menjelaskan demonstrasi yang berlaku sebenarnya berpunca daripada isu domestik, melibatkan ketidakpuasan terhadap pemerintah, isu politik, sosial dan rasa keadilan.
"Ia tidak memberi kesan langsung kepada pelabur asing termasuk dari Malaysia," ujarnya.
Bagaimanapun, beliau mengakui ada sedikit kesan terhadap iklim pelaburan seperti penurunan Indeks Harga Saham Gabungan (IHSG) dan persepsi daya beli, namun ia bersifat sementara dan tidak menjejaskan pelaburan jangka panjang.
Pada masa sama, media Indonesia menilai liputan Malaysia sebagai positif kerana mampu mewakili keluhan dan aspirasi rakyat Indonesia.

"Laporan dari Malaysia sedikit sebanyak bantu menyuarakan tuntutan rakyat terhadap Lembaga Perwakilan Rakyat (DPR), pemerintah, Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan pihak berkaitan," jelasnya.
Lida turut menyatakan nasihat perjalanan yang dikeluarkan Malaysia dianggap wajar dan berbentuk perlindungan terhadap warganya, bukannya tindakan negatif.
Mengulas lebih lanjut, beliau menegaskan pemerintah perlu mendengar aspirasi rakyat kerana akar demonstrasi ini tercetus daripada suara rakyat yang tidak diberi perhatian.
"Stabiliti politik, ekonomi dan sosial sesebuah negara mesti berakar pada rakyat.
"Dalam hal ini, kedua-dua negara sebenarnya boleh saling belajar, terutama bagaimana kerajaan perlu mendengar suara rakyat sejak awal supaya krisis dapat dicegah," katanya.
Dalam konteks pembangunan, Indonesia turut mencontohi Malaysia khususnya dalam aspek ekonomi.
"Kami melihat Produk Domestik Bruto (PDB) Indonesia masih lebih kecil daripada Malaysia dan itu sebenarnya menjadi salah satu tuntutan kepada pemerintah kami," katanya.