ad

Pelajar tingkatan enam positif dadah selepas berhibur di Thailand

1 Sep 2025, 11:54 AM
Pelajar tingkatan enam positif dadah selepas berhibur di Thailand

BUKIT KAYU HITAM, 1 SEPT: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah menahan 23 individu termasuk seorang pelajar tingkatan enam sebuah sekolah di Jitra, selepas pulang bercuti di Thailand, pagi tadi.

Pengarahnya Khairul Anwar Ahmad berkata kesemua individu itu ditahan dalam Op Merdeka 2025, bermula 3 petang Sabtu hingga 1 tengah hari tadi, di Kompleks Imigresen Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

“Operasi membabitkan tiga pegawai dan 12 anggota untuk mengesan aktiviti penyalahgunaan dadah ketika orang ramai memasuki negara ini selain membanteras kemasukan dadah melalui sempadan negara.

“Sebanyak 30 kenderaan serta 15 motosikal diperiksa dan 31 individu diarahkan menjalani ujian saringan air kencing dan daripada jumlah itu, 23 positif pelbagai jenis dadah,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata mereka yang ditahan terdiri 21 lelaki dan dua wanita yang berusia antara 18 hingga 40 tahun, termasuk pelajar tingkatan enam itu bersama pasangannya berusia 25 tahun yang ditahan 6 pagi tadi.

“Selepas ujian air kencing dijalankan, pelajar itu didapati positif ketamin (dipercayai diambil) ketika berhibur di sebuah pusat hiburan, manakala individu lain didapati positif ganja, methamphetamine dan MDMA,” katanya.

Khairul Anwar berkata mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Penagih dan Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 untuk tindakan lanjut.

Berdasarkan siasatan awal, kebanyakan yang ditahan pengguna kali pertama yang mencuba dan mengambil dadah di tempat hiburan.

“AADK mencadangkan agar ujian air kencing terus dijalankan kepada pelajar untuk mengesan aktiviti penyalahgunaan dadah, khususnya di sekolah,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.