ad

Kanak-kanak lelaki hilang ditemukan lemas dalam takungan air

1 Sep 2025, 7:43 AM
Kanak-kanak lelaki hilang ditemukan lemas dalam takungan air

BINTULU, 1 SEPT: Kanak-kanak lelaki ditemukan lemas di sebuah takungan air berhampiran lampu isyarat Spait, Jalan Celestine Ujang semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu Supt Nixon Joshua Ali berkata pihaknya menerima panggilan daripada seorang bapa yang memaklumkan anak lelakinya berusia tujuh tahun hilang berhampiran simpang jalan masuk Taman Seri Pelabuhan, Bintulu 8.30 malam tadi.

Bertindak atas maklumat, beliau berkata pasukan polis bersama Unit MPV IPD Bintulu serta pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu digerakkan ke lokasi untuk membantu pencarian kanak-kanak itu.

“Mangsa berumur tujuh tahun, berbangsa Iban, ditemui di dasar takungan air berkedalaman lima meter, terletak 50 meter dari rumah pekerja Fully Contractor Workshop. Pemeriksaan awal mendapati tiada unsur jenayah pada tubuh mangsa.

"Pegawai perubatan dari Hospital Bintulu mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Bintulu untuk bedah siasat dan kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.