ad

Kes pelajar jatuh asrama: Kerajaan Negeri tumpu rawatan mangsa, jamin siasatan telus

1 Sep 2025, 6:32 AM
Kes pelajar jatuh asrama: Kerajaan Negeri tumpu rawatan mangsa, jamin siasatan telus

BATU CAVES, 1 SEPT: Kerajaan Negeri memberi jaminan siasatan telus terhadap insiden seorang pelajar tingkatan tiga yang terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam baru-baru ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tumpuan utama ketika ini adalah memastikan keadaan mangsa stabil dan menerima sokongan sewajarnya sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

“Kita mahu mangsa diberi ruang untuk pulih dahulu. Pada masa sama, siasatan tetap akan dijalankan dengan telus dan menyeluruh.

“Ahli Dewan Negeri Air Tawar, Datuk Rizam Ismail sebelum ini juga telah berjumpa dengan keluarga mangsa dan saya sendiri akan turun apabila keadaan lebih sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival 100 Jualan Ehsan Rahmah di Padang Awam Batu Caves, di sini, hari ini.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bersama pelajar tadika mengibarkan Jalur Gemilang dalam program Karnival 100 Jualan Ehsan Rahmah DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 1 September 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Media sebelum ini melaporkan pelajar terbabit dalam keadaan kritikal selepas dipercayai menjadi mangsa buli sehingga terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama berkenaan pada 24 Ogos lalu.

Ketua Polis Selangor Dato’ Shazeli Kahar memaklumkan lebih 12 individu termasuk pelajar dan kakitangan sekolah sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001, manakala Kementerian Pendidikan turut menjalankan siasatan dalaman berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan asrama.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.