SABAK BERNAM, 1 SEPT: Generasi muda perlu menjadikan pendidikan sebagai kunci menyuburkan perpaduan dalam memastikan keharmonian bangsa terus terpelihara.
Menurut Duta Perpaduan yang juga pempengaruh Mas Zhiddin Zhiddan pendidikan adalah asas utama kerana ia melahirkan sifat menghormati pelbagai pandangan serta warna kehidupan.
"Ilmu itu kewajipan ke atas setiap Muslim. Dari pendidikan kita belajar menghormati, dan inilah asas perpaduan sebenar," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Duta Perpaduan Rumpun Selangor di sini, semalam.
Tegas Zhiddin, pendidikan tidak hanya diukur melalui pencapaian akademik tetapi juga melalui ilmu kehidupan harian.
Tambahnya , perpaduan terbentuk apabila masyarakat saling menghormati pandangan, namun cabaran baharu muncul dengan wujudnya kepelbagaian yang semakin kompleks termasuk urbanisasi, kesenjangan sosial dan polarisasi masyarakat.
"Kepelbagaian bukan statik. Hari ini ada 100, esok mungkin 102, lusa 120. Jika kita hanya fikir kepelbagaian tradisi dan budaya, isu perpaduan akan terus berlegar tanpa penyelesaian," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan Ekspo Kemerdekaan Kampung Tradisi Negeri Selangor 2025 sebagai acara berbilang bangsa yang mampu menjadi platform terbaik mendidik masyarakat menghargai perbezaan.
"Saya kira apabila kita terus berpuas sama menghirup, bersambal sama mencolek, kita dapat jayakan program seperti ini, maka dia mampu mencapai satu aspirasi perpaduan iaitu keharmonian dalam Mkepelbagaian," katanya.
Beliau menambah, tradisi dan warisan juga berperanan sebagai jambatan perpaduan, khususnya di Selangor yang dianggap mini Malaysia kerana himpunan masyarakat dari seluruh negeri.
"Karnival ini bukan hanya terjemahkan makanan, budaya, perbezaan bangsa. Di sini kita nampak pelbagai bentuk kepelbagaian, termasuk perkara kecil seperti rekaan songkok," katanya.

Mengulas makna kemerdekaan, beliau menolak takrifan mudah yang menyamakan kebebasan dengan merdeka.
"Kalau bebas itu merdeka, burung-burung di langit sudah kita panggil merdeka. Binatang buas di hutan pun kita panggil merdeka. Bahkan perompak yang lari dari penjara pun kita panggil merdeka. Adakah itu merdeka yang kita maksudkan? Tidak.
"Merdeka perlu difahami melalui roh perkataan itu sendiri iaitu berpegang pada dalil, yakin dalam hati dan melahirkan karya," katanya.