SABAK BERNAM, 1 SEPT: Ekspo Kemerdekaan Kampung Tradisi Negeri Selangor 2025 yang julung kali dianjurkan berjaya menyemarakkan semangat patriotisme di samping mengangkat kampung tradisi sebagai sebahagian sejarah bangsa yang perlu dipelihara.
EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail berkata penganjuran ekspo selama empat hari tiga malam itu bukan sahaja menjadi platform menonjolkan warisan serta keunikan tempatan, malah berjaya mengumpulkan masyarakat pelbagai kaum dari dalam dan luar daerah Sabak Bernam.
"Alhamdulillah, ekspo ini menerima sambutan di luar jangkaan dengan kehadiran hampir 40,000 orang, melebihi sasaran awal. Kehadiran ini mencerminkan semangat Kita Selangor dan kebersamaan tinggi antara agensi kerajaan, persatuan masyarakat dan komuniti setempat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada ekspo yang berlangsung di Stadium Sungai Besar, di sini semalam.

Tambahnya, pelbagai aktiviti dilaksanakan termasuk sukan rakyat, kenduri rakyat, jejak pesona Sabak Bernam, pertandingan tarik tali, e-sukan, bola sepak, catur, larian kemerdekaan serta program khas untuk kanak-kanak dan keluarga.
Selain itu, ekspo turut mengetengahkan pengisian kerohanian menerusi slot motivasi bersama Datuk Dr Fadzilah Kamsah, forum perdana bersama Imam Muda Asraf dan PU Amin, persembahan nasyid UNIC dan Hijaz serta himpunan solidariti Palestin yang mendapat sambutan luar biasa.
"Kita mahu pastikan sambutan kemerdekaan ini bukan sahaja berunsur hiburan, tetapi turut memberi ruang kepada masyarakat untuk menghayati nilai kerohanian, keinsafan serta solidariti terhadap isu kemanusiaan global," ujarnya.
Terdahulu, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melancarkan Jualan Rumpun Selangor, inisiatif yang membolehkan koperasi menjual barangan dengan harga berpatutan sebagai alternatif jualan murah untuk rakyat.
Selain itu, turut diadakan penyampaian watikah pelantikan kepada pempengaruh Mas Zhiddin Zhiddan sebagai Duta Perpaduan Rumpun Selangor, selain majlis penyampaian hadiah pertandingan mencipta video perpaduan, deklamasi sajak dan poster anjuran bersama Jawatankuasa Tetap Perpaduan Nasional serta Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

Datuk Rizam dalam ucapannya turut menyatakan keyakinan bahawa kejayaan penganjuran ekspo ini akan dipertimbangkan untuk dijadikan acara tahunan oleh Kerajaan Negeri.
"Inilah aspirasi gagasan Rumpun Selangor dan selaras dengan semangat Kita Selangor, Maju Bersama," katanya.