ad

Chen Tang Jie–Toh Ee Wei rangkul juara dunia di Paris

31 Ogos 2025, 12:05 PM
Chen Tang Jie–Toh Ee Wei rangkul juara dunia di Paris

KUALA LUMPUR, 31 OGOS: Saat jutaan rakyat mengibarkan Jalur Gemilang sempena ulang tahun kemerdekaan ke-68, arena sukan tanah air turut diraikan dengan hadiah bersejarah apabila beregu campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei, muncul juara Kejohanan Dunia di bumi Perancis, malam ini.

Pada aksi final yang berlangsung di Adidas Arena, Paris, gandingan keempat dunia itu tanpa gentar berdepan gergasi China dengan semangat juang membara, penuh berani dan bijak membaca permainan untuk menundukkan pilihan kedua Jiang Zhen Bang–Wei Ya Xin 21-15 pada set pertama.

Pada set kedua, mereka terus mengekang kebangkitan pasangan China apabila seakan “menggila” di gelanggang dengan menoktahkan kemenangan 21-14, sekali gus menghadiahkan emas pertama Malaysia dalam acara beregu campuran dalam tempoh 40 minit penuh mendebarkan.

Bagaikan mendapat kekuatan daripada laungan “Merdeka!”, Tang Jie–Ee Wei tidak sedikit pun goyah meskipun rekod lalu memihak kepada lawan beregu kedua dunia itu dengan kelebihan 3-1 termasuk kekalahan perit pada Terbuka Jepun bulan lalu.

Kejayaan itu menoktahkan penantian hampir dua dekad selepas pencapaian terbaik negara dalam acara beregu campuran hanyalah di separuh akhir menerusi Koo Kien Keat – Wong Pei Tty pada edisi 2006 di Madrid, Sepanyol.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.