ad

Suami isteri maut bot terbalik dipukul ombak besar, angin kencang

31 Ogos 2025, 11:42 AM
Suami isteri maut bot terbalik dipukul ombak besar, angin kencang

MARANG, 31 OGOS: Suami isteri ditemukan lemas selepas bot gentian dinaiki mereka terbalik dipercayai dipukul ombak besar dan angin kencang di perairan Kuala Merchang di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Marang Supt Mohd Sofian Redzuan berkata dalam kejadian 3.30 petang itu, bekas tentera Abdul Rahim Mustaffa, 47, dan Norhasriah Che Osman, 46, suri rumah dari Pulau Kerengga di sini, keluar menangkap ikan menggunakan bot bersaiz enam meter.

“Siasatan awal mendapati mangsa keluar ke laut pada 7.45 pagi. Mayat mereka ditemukan nelayan tempatan pada jarak antara tiga hingga empat kilometer dari Pantai Merchang.

“Norhasriah ditemukan pada 4.30 petang manakala suaminya pada 4.45 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sofian berkata mayat pasangan itu dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Beliau menasihatkan nelayan serta orang awam sentiasa merujuk ramalan cuaca sebelum ke laut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini kerana cuaca di perairan Kuala Merchang sejak 28 Ogos tidak menentu dengan laut bergelora dan angin kencang.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.