Media Selangor menyertai lebih 240 agensi media dunia mendesak rejim Zionis supaya berhenti membunuh wartawan yang bertugas di Gaza.
Kempen solidariti itu digerakkan oleh Reporters Without Borders (RSF), sebuah badan pendesak kebebasan media berpejabat di Paris, dan Avaaz, sebuah badan pendesak antarabangsa.
“Media Selangor mendesak agar rejim Zionis menghentikan kekejaman dan pembunuhan yang sedang berlaku di Gaza. Ini termasuk pembunuhan terancang terhadap para wartawan, jurugambar, juruvideo dan komuniti media.
"Tindakan kejam ini bukan hanya menyalahi undang-undang antarabangsa tetapi mempunyai motif jahat agar dunia terputus maklumat berkenaan kekejaman yang sedang berlaku di Gaza”, ujar Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree, Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor.
Menurut badan pendesak itu, sekurang-kurangnya 210 wartawan terbunuh akibat serangan tentera Israel di wilayah Gaza, dalam tempoh hampir 23 bulan sejak peperangan berlaku.
Dalam kenyataan medianya, kedua-dua agensi menyeru pihak berkuasa Israel supaya membenarkan akses bebas kepada media antarabangsa di Semenanjung Gaza.
Kempen akan berjalan dalam tempoh 24 jam, pada 1 September.