GOMBAK, 31 OGOS: Gagasan 100 tahun kemerdekaan negara bakal diterjemah menerusi pelbagai pelan ekonomi negeri, termasuk Rancangan Selangor Kedua (RS-2), kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sudah tiba masanya Selangor dan Malaysia kembali mengorak langkah ke hadapan selepas melalui episod goyah dalam tempoh beberapa tahun sebelum ini.
“Itu adalah sasaran, itu adalah antara impian kita dan ramai rakyat Malaysia. Kita perlu berfikir sekarang dan perlu ada sasaran. 30 tahun bukan satu masa yang panjang sangat.
“Insya-Allah, ia akan diterjemahkan dalam rencana-rencana kita, termasuk RS-2 dan pelan-pelan ekonomi lain yang akan kita kemukakan,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan program larian santai Merdeka Fun Run Nadi Sungai Tua di Dataran Niaga yang disertai lebih 1,000 peserta di sini, hari ini.
Jumaat lalu, Amirudin ketika menyampaikan Syarahan Kebangsaan berkata Selangor dan Malaysia harus keluar daripada bayang-bayang ketakutan, khususnya menjelang 100 tahun kemerdekaan negara yang akan dicapai 32 tahun lagi.
Menurutnya, keberanian itu hanya mampu dicapai menerusi pemahaman masyarakat dalam ilmu pengetahuan serta keupayaan dalam bidang sains dan teknologi.
Beliau turut mengimpikan Selangor dan Malaysia mampu menjadi generasi yang mampu mencari kebenaran serta menolak yang salah, menjelang hari kemerdekaan ke 100 tahun kelak.