PUTRAJAYA, 31 OGOS: Pekarangan Dataran Putrajaya mula dipenuhi orang ramai untuk menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan ke-68 yang bermula 8 pagi ini.
Tinjauan Bernama mendapati, seawal 8 malam semalam, orang ramai mula ‘berkampung’ di tapak sambutan dengan membawa tikar dan kerusi untuk memastikan mereka mendapat tempat terbaik bagi menyaksikan satu lagi detik bersejarah negara itu.
Keadaan cuaca yang baik pagi ini melancarkan dan memudahkan pergerakan pengunjung serta peserta perarakan dan persembahan membuat persiapan.
Pengunjung Sara Ishak, 40, dari Kajang sanggup keluar rumah seawal 3 pagi semata-mata untuk memberikan peluang kepada dua cahaya matanya berusia 10 dan enam tahun melihat lebih dekat acara perbarisan yang penuh warna-warni ini dengan berada berhampiran pentas utama.
“Tahun lepas kami sampai lewat, jadi tak dapat lihat perarakan dengan jelas. Kali ini anak-anak begitu teruja, sanggup berjalan lebih satu kilometer untuk dapatkan tempat di hadapan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini
Bagi Sara, pengalaman kali kedua ini lebih bermakna apabila dapat bersama-sama lautan manusia meraikan detik penuh patriotisme di Dataran Putrajaya.
Sementara itu, Haznil Hafizi, 26, sanggup memandu lebih 400 kilometer ke Putrajaya dari Sungai Petani, Kedah semata-mata untuk meraikan Hari Kebangsaan tahun ini.
“Alhamdulillah, rezeki abang saya terpilih masuk perbarisan ATM. Perasaan memang seronok, ini kali pertama kami hadir secara fizikal. Kami sekeluarga tidak kisah berjalan hampir dua kilometer kerana tidak mahu ketinggalan menyaksikan detik sejarah untuk negara dan keluarga kami,” katanya.
Sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang bertemakan Malaysia MADANI: Rakyat disantuni bermula seawal 7 pagi dengan ketibaan pemimpin negara, diikuti keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Sebanyak 81 kontinjen melibatkan 14,062 peserta akan mengambil bahagian dalam perarakan dan perbarisan yang turut menampilkan 21 pasukan pancaragam, tujuh kereta berhias, 508 aset darat dan udara, serta 116 haiwan dalam perkhidmatan awam.