SHAH ALAM, 30 OGOS: Dataran Kemerdekaan Shah Alam malam ini bergema dengan laungan ‘Merdeka’ yang dipimpin Dato’ Menteri Besar sebagai simbolik menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan peringkat Selangor ke-68 tahun ini.
Tepat jam 12.00 tengah malam, Dato’ Seri Amirudin Shari tampil memimpin detik bersejarah sambutan, dengan laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali penuh semangat diikuti lebih 60,000 hadirin.
Turut menyinari langit Dataran Kemerdekaan Shah Alam sempena sambutan itu adalah pertunjukan bunga api yang memukau penonton.
Terdahulu, pengunjung dipertonton dengan gimik persembahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selain perbarisan dan perarakan melibatkan lebih 80 kontinjen merangkumi pelbagai agensi, badan berkanun, badan bukan kerajaan (NGO) dan sekolah sekitar negeri ini.
Turut dipamerkan pada sesi perarakan adalah aset dan jentera pelbagai agensi termasuk pasukan keselamatan negara selain persembahan artis tanah air seperti Dato’ Hattan, Bunkface, Aisyah Retno dan Ruffedge.
Pada sambutan malam ini juga, Laksamana Muda (B) Dato' Anuar Alias dinobat Tokoh Kemerdekaan Selangor 2025 atas jasa dan bakti besar yang dicurahkan dalam angkatan pertahanan negara termasuk menerusi beberapa misi antarabangsa.
Anuar,63, yang membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 mula menyertai perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 1 Februari 1981 dan pengalaman beliau bermula sebagai Pegawai Navigasi di KD Baung sebelum berkhidmat di beberapa kapal lain.
Beliau selepas itu menyertai Pasukan Khas Laut (PASKAL), pasukan elit TLDM dan sepanjang bertugas dalam pasukan itu Anuar terlibat dalam operasi penting seperti misi pengunduran pasukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) UNISOM II di Somalia melalui KD Sri Indera Sakti dan KD Mahawangsa.
Selain itu, persatuan veteran Angkatan Tentera Selangor dan Persatuan Bekas Polis Negeri Selangor masing-masing menerima sumbangan RM50,000 sempena sambutan malam ini.