SHAH ALAM, 30 OGOS: Dataran Kemerdekaan Shah Alam meriah apabila lebih 30,000 pengunjung menyertai sambutan Hari Kebangsaan peringkat Selangor ke-68 tahun ini.
Pelbagai acara disusun bagi memeriahkan lagi ulang tahun bersejarah itu yang mengangkat tema Rakyat Disantuni.
Ketibaan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada jam 8.45 malam diiringi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) disambut meriah dan majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku serta lagu negeri Selangor.

Pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kaum hadir sejak jam 5 petang dan kebanyakan berpakaian bertemakan Jalur Gemilang.
Antara acara menarik sempena sambutan malam ini, termasuklah perbarisan dan perarakan 83 kontinjen merangkumi pelbagai agensi, badan berkanun, badan bukan kerajaan (NGO) dan sekolah sekitar negeri ini selain gimik persembahan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Turut dipamerkan pada sesi perarakan adalah aset dan jentera pelbagai agensi termasuk pasukan keselamatan negara selain persembahan artis tanah air seperti Dato’ Hattan, Bunkface, Aisyah Retno dan Ruffedge.
Acara kemuncak malam ini dijangka dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api dan laungan merdeka dipimpin Amirudin tepat jam 12 tengah malam.