ad

Polis buru banduan hilangkan diri di Sungai Buloh

30 Ogos 2025, 11:08 AM
Polis buru banduan hilangkan diri di Sungai Buloh
Polis buru banduan hilangkan diri di Sungai Buloh

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Polis sedang mengesan seorang banduan yang menghilangkan diri dari program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) di kawasan Desa Coalfields, Sungai Buloh, Selangor.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata laporan kehilangan banduan berkenaan iaitu M Devan, 39, diterima 11 malam semalam.

Beliau berkata banduan berkenaan sedang menjalani hukuman penjara 12 bulan di Penjara Kajang atas kesalahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan kini disyaki menghilangkan diri daripada pemantauan serta seliaan Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti Daerah Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

“Pencarian telah dibuat oleh pihak pejabat parol berkenaan namun Orang Bebas Berlesen (OBB) itu gagal ditemui.

“Semakan juga dibuat di balai polis serta mendapati tiada rekod tangkapan dan penahanan terhadap OBB tersebut di mana-mana lokap oleh polis manakala semakan di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Selayang juga mendapati tiada sebarang rekod kemasukan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Hafiz berkata keluarga Devan turut mengesahkan bahawa banduan itu tidak pulang ke rumahnya.

Sehubungan itu, beliau berkata polis memohon kerjasama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Insp Ekmal Hasif Mohd Noor di talian 011-3539 6787 atau Balai Polis Saujana Utama di talian 03-6038 2222.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.