ad

Lima gegaran seminggu, penduduk minta nasihat keselamatan, pemantauan

30 Ogos 2025, 9:56 AM
Lima gegaran seminggu, penduduk minta nasihat keselamatan, pemantauan

SEGAMAT, 30 OGOS: Penduduk di Segamat berharap agensi berkaitan dapat melakukan pemantauan berterusan di lapangan serta memberikan nasihat keselamatan susulan gegaran gempa bumi lemah yang berlarutan di daerah itu.

Menurut mereka kehadiran agensi termasuk pihak berkuasa penting dalam memberi jaminan keselamatan, khususnya kepada penduduk kampung.

Ini lebih-lebih lagi berikutan terdapat jangkaan daripada pakar yang tidak menolak kemungkinan gegaran lebih kuat akan berlaku di daerah tersebut yang telah lima kali mengalami gempa bumi dalam tempoh lapan hari sejak Ahad lalu.

Penduduk, Firdaus Zainal, 40, berkata setakat ini kebanyakan maklumat semasa dan peringatan berhubung langkah keselamatan bagi menghadapi gempa bumi banyak diketahui melalui media sosial.

"Pemantauan oleh pihak berkaitan sekurang-kurangnya boleh menerangkan kepada penduduk tentang situasi semasa dan nasihat keselamatan.

“Kita bimbang gegaran jadi lebih besar tiap kali berlaku kita jadi takut sebab tidak tahu bagaimana keadaan (kesan gegaran) termasuk jika ada pergerakan bawah tanah," kata penulis yang tinggal di Jalan Buloh Kasap, Batu 2 itu ketika ditemui hari ini.

Bagi Yusof Othman, 58, dari Kampung Tanjung Sengkawang di sini, latihan kecemasan juga perlu untuk memastikan penduduk bersedia sekiranya gegaran lebih kuat berlaku.

"Saya harap apabila gegaran sudah masuk kali kelima ini, langkah keselamatan perlu diajar kepada penduduk bagi memastikan kita juga tahu di mana tempat sebetulnya untuk berlindung," kata peniaga itu.

Ahmad Zainal, 52, dari Kampung Batu Badak, di sini pula berkata penduduk ketika ini seakan tidak senang duduk dengan gegaran yang berlarutan.

"Kami tidak boleh leka dan panik, apa pun kami berserah kepada Allah SWT dan berharap agar gegaran tidak lagi berlaku," kata buruh itu lagi.

Terdahulu tinjauan mendapati operasi perniagaan di bandar Segamat dan aktiviti harian penduduk termasuk di kawasan kampung berjalan seperti biasa.

Lima gegaran direkodkan dalam tempoh seminggu di Segamat iaitu terbaharu pada 7.29 pagi tadi dengan 2.7 skala Richter; 4.24 pagi semalam (3.4); 7.56 malam, Khamis (2.5); 8.59 pagi, Rabu (3.2); dan 6.13 pagi, 24 Ogos dengan 4.1.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.