ad

Lebih ramai pemimpin dunia dijangka hadir Sidang Kemuncak ASEAN di KL Oktober ini

30 Ogos 2025, 5:36 AM
Lebih ramai pemimpin dunia dijangka hadir Sidang Kemuncak ASEAN di KL Oktober ini
Lebih ramai pemimpin dunia dijangka hadir Sidang Kemuncak ASEAN di KL Oktober ini
Lebih ramai pemimpin dunia dijangka hadir Sidang Kemuncak ASEAN di KL Oktober ini
Lebih ramai pemimpin dunia dijangka hadir Sidang Kemuncak ASEAN di KL Oktober ini

SERDANG, 30 OGOS: Lebih ramai pemimpin negara luar dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata hal ini susulan kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Mei lepas, hasil kecekapan luar biasa yang ditunjukkan seluruh jentera perkhidmatan awam dalam memastikan kelancaran acara bertaraf tinggi itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada 30 Ogos 2025. Foto BERNAMA

“Sebagaimana yang disebut sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah mengesahkan (kehadiran) dan juga akan melawat Malaysia (bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47) dan saya percaya pimpinan China dan mungkin pimpinan Rusia (turut akan hadir ke sidang kemuncak itu).

“Mengapa saya rasa yakin? Kerana saya lihat kecekapan luar biasa jentera kita. Kementerian Luar, Polis Diraja Malaysia, seluruh kakitangan Jabatan Perdana Menteri, pegawai-pegawai daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, malah seluruh jentera kerajaan bekerja.

“Sidang ASEAN yang kita adakan beberapa bulan lepas itu dianggap antara sidang yang besar, hebat dan paling cermat serta teratur pernah diadakan,” katanya semasa berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, Anwar menyatakan keyakinan bahawa Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 mampu menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dengan lebih baik dan berkesan.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera kerajaan yang telah mula bergerak membuat persiapan bagi memastikan pelbagai aspek, terutamanya keselamatan dan peraturan diteliti dengan rapi.

“Pengalaman kita beberapa bulan lepas sepatutnya mengajar kita membaiki prestasi kita,” kata Anwar.

Selain Presiden Trump, Presiden China Xi Jinping, Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa dilaporkan antara pemimpin dunia yang dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 itu.

Malaysia mempengerusikan blok serantau berkenaan di bawah tema "Keterangkuman dan Kemampanan" serta menjadi tuan rumah kepada lebih 300 mesyuarat, program dan sidang kemuncak berkaitan ASEAN sepanjang tahun ini.

Malaysia pernah menjadi Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.