KUALA LANGAT: Seramai lebih 81,000 usahawan di Selangor menerima manfaat pembiayaan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun), membabitkan jumlah keseluruhan RM4.9 bilion sehingga kini.
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, antara Januari hingga Julai tahun ini sahaja, seramai 2,684 usahawan negeri ini dibantu dengan pembiayaan berjumlah RM66 juta.
“Perangkaan ini membuktikan Tekun terus memainkan peranan penting merangsang pertumbuhan ekonomi rakyat dan membantu pengembangan perniagaan usahawan pelbagai sektor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kaseh Keusahawanan Aspirasi Wanita yang berlangsung di Dataran Pantai Morib, semalam.
Tambah beliau, secara keseluruhan lebih 602,000 usahawan di seluruh negara menerima manfaat daripada skim pembiayaan Tekun dengan nilai mencecah RM10.5 bilion.
“Di Selangor sahaja, lebih 81,000 usahawan telah menerima bantuan pembiayaan, termasuk hampir setengah juta usahawan wanita yang berjaya memperkasa kedudukan ekonomi mereka,” katanya.
Pada majlis sama, seramai 11 usahawan Tekun Selangor turut menerima pembiayaan berjumlah RM449,000 sebagai dorongan memajukan perniagaan masing-masing.