ad

MAHB diarah periksa semula kemudahan elektrik di KLIA

30 Ogos 2025, 12:14 AM
MAHB diarah periksa semula kemudahan elektrik di KLIA

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) diarah memeriksa semula keseluruhan infrastruktur elektrik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memastikan operasi tidak terganggu lagi sekiranya berlaku insiden luar jangka.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata langkah itu penting susulan siasatan awal mendapati punca gangguan bekalan elektrik di KLIA Terminal 2 kelmarin berpunca daripada pendawaian dan kabel yang terbakar akibat pemanasan lampau.

“Saya telah mengarahkan MAHB untuk melihat kembali keseluruhan infrastruktur elektrik supaya apa sahaja berlaku, operasi kita tidak terganggu dan juga kuasa elektrik akan sentiasa dapat dibekalkan.

“Apa yang penting ialah kita nak pastikan supaya sistem sokongan mesti diaktifkan dalam keadaan segera, dalam apa juga keadaan. Mereka mengambil masa 28 minit untuk kembalikan kuasa elektrik, itu sesuatu yang terlalu panjang dan sukar untuk diterima,” katanya menerusi hantaran video di Facebook beliau semalam.

Kelmarin, MAHB mengesahkan satu kejadian gangguan bekalan elektrik sementara di Terminal 2 KLIA susulan insiden lampau kilat melibatkan penyambungan kabel.

MAHB bagaimanapun memberi jaminan bahawa operasi lapangan terbang tidak terjejas kerana sistem penting terus berfungsi tanpa gangguan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.