ad

Gender Outlook Forum 2025: Selangor seru tingkatkan penglibatan wanita dalam politik

29 Ogos 2025, 11:43 AM
Gender Outlook Forum 2025: Selangor seru tingkatkan penglibatan wanita dalam politik

SUBANG JAYA, 29 OGOS: Penganjuran Gender Outlook Forum 2025 medium penting dalam memastikan wujud perubahan mendasar berhubung kesaksamaan gender.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata menerusi program tersebut, bukan sahaja perbincangan semata-mata, sebaliknya pelbagai tindakan dapat diambil seiring dengan agenda pemerkasaan wanita.

“Ini merupakan kali pertama forum dianjurkan dan pelbagai tema dapat diperkukuhkan. Contohnya, berdasarkan indeks analisis gender, penglibatan wanita dalam sektor pendidikan dan kesihatan baik tetapi politik serta ekonomi ada jurang.

“Menerusi forum ini, kita angkat dua topik utama untuk dibincangkan supaya dapat meruntuhkan halangan serta membina mekanisme yang menjamin penglibatan wanita dalam kerajaan,” katanya selepas merasmikan majlis penutupan program itu hari ini.

Dalam pada itu, Anfaal memaklumkan penglibatan wanita dalam politik di Selangor masih rendah iaitu 16 peratus atau hanya sembilan mewakili golongan tersebut berbanding 56 wakil rakyat.

Katanya, peratusan itu tidak memuaskan dan berharap ada penambahan pada pilihan raya akan datang yang bukan sahaja dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya tetapi bermula dari iltizam parti-parti politik.

“Penglibatan wanita dalam politik amat penting untuk mengangkat suara golongan rentan termasuk wanita, kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya. Kurang penglibatan wanita, semakin berkurangan suara golongan ini didengari.

“Golongan ini perlu dilindungi dan diangkat martabatnya dengan polisi kukuh. Namun, usaha ini memerlukan kerjasama lelaki yang ada sensitiviti pada golongan tersebut,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.