ad

EXCO: Pelajar tingkatan tiga terjatuh asrama mula gerakkan kaki

29 Ogos 2025, 11:44 AM
EXCO: Pelajar tingkatan tiga terjatuh asrama mula gerakkan kaki

SUBANG JAYA, 29 OGOS: Pelajar lelaki tingkatan tiga yang terjatuh dari asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam menunjukkan tindak balas positif, kata EXCO kebajikan masyarakat.

Anfaal Saari berkata pelajar terbabit mula menggerakkan kakinya berbanding sebelum ini tidak sedarkan diri dan dirawat di unit rawatan rapi.

“Sewaktu saya menziarah tadi, ibu pelajar memaklumkan buat kali pertama anaknya gerakkan kaki, ada respon positif dan diharapkan pulih segera.

“Setakat ini, siasatan masih dijalankan pihak polis dan menunggu pelajar sedar bagi mendapatkan maklumat lanjut. Pejabat pendidikan daerah juga sedang mendapatkan maklumat lanjut dalam semua aspek termasuk fasiliti,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan majlis penutupan program Gender Outlook Forum 2025 yang menghimpunkan 200 peserta melibatkan agensi kerajaan dan sektor swasta serta ahli akademik di sini hari ini.

Sebelum ini, polis mengesahkan menerima laporan berhubung insiden pelajar lelaki tingkatan tiga dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.

Ketua Polis Selangor Dato’ Shazeli Kahar berkata, pihaknya sudah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Katanya, kes disiasat daripada pelbagai sudut termasuk aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama serta latar belakang sosial mangsa dan rakan.

Beliau turut memaklumkan, polis kini sedang mengumpul keterangan daripada saksi dan individu berkaitan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.