SHAH ALAM, 29 OGOS: Bagi anak muda yang memilih jalan perjuangan, kemerdekaan bukan sekadar cuti umum atau kibaran Jalur Gemilang. Ia adalah amanah yang ditunaikan walau dalam gelora samudera.
Bagi Leftenan Muda Maritim Muhammad Nur Affiq Nor Hisham, 30, hampir tiga tahun bertugas bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sudah cukup menyedarkan bahawa semangat merdeka harus diterjemahkan dalam bentuk pengorbanan.
“Merdeka bukan hanya cuti atau perarakan besar-besaran. Ia tentang tanggungjawab dan pengorbanan berterusan. Ramai fikir kemerdekaan hanya dijaga di darat, tetapi bagi kami, laut juga sempadan negara yang mesti dipertahankan,” katanya ketika menjadi panel program Bicara Semasa: Lautan Merdeka, Amanah Dipertahan sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakannya ialah ketika memintas sebuah bot dari negara jiran yang sarat membawa 80 migran. Operasi itu berlangsung pada waktu malam dalam keadaan laut bergelora, malah bot berkenaan hampir bocor sebelum sempat memasuki perairan negara.

“Kami segera menahan mereka dan membawa semua migran ke jeti untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat. Ramai orang mahu bekerja di Malaysia tetapi memilih jalan salah,” katanya sambil menegaskan APMM menjadi benteng utama menjaga kedaulatan laut meskipun berdepan risiko senjata, dadah dan cuaca buruk.
Bagi Leftenan Madya Maritim Mohd Atraf Abdul Patah, 32, pula, pengorbanan mempertahankan sempadan negara bermakna melepaskan detik berharga bersama keluarga. Tujuh tahun berkhidmat bermakna tujuh kali juga Aidilfitri disambut di atas kapal.
“Perkara paling sukar ialah bila tak dapat balik beraya, tak dapat salam mak ayah. Sedih memang sedih, tapi saya anggap ia ujian. Kalau bernasib baik, dapatlah pulang raya keempat atau kelima,” katanya.
Namun, katanya, rakan setugas di kapal ibarat keluarga kedua. Mereka makan bersama, bergelak ketawa dan saling menguatkan semangat saat berjauhan dengan orang tersayang.
Setiap operasi malam di tengah laut pula adalah taruhan nyawa. Ombak setinggi tiga meter, ribut petir dan kejar-mengejar kapal asing bukan perkara asing bagi mereka.
“Fokus 100 peratus sangat penting. Silap sedikit, kapal boleh rosak dan nyawa kru terancam. Perasaan takut memang ada, tapi semangat mempertahankan negara sentiasa mengatasi segalanya,” kata Mohd Atraf.
Bagi wira-wira muda ini, merdeka adalah harga yang dibayar dengan masa, keringat, air mata dan pengorbanan keluarga.
“Laut juga sebahagian daripada tanah air. Mempertahankannya bermakna mempertahankan kemerdekaan itu sendiri. Kami tidak perlukan sorakan, cukuplah negara ini terus aman,” kata Muhammad Nur Affiq.