JAKARTA, 29 OGOS: Presiden Indonesia Prabowo Subianto hari ini memberi jaminan bahawa insiden kematian pemandu perkhidmatan sewa motosikal, ojek yang dirempuh kenderaan polis ketika demonstrasi di Jakarta akan disiasat secara menyeluruh dan telus.
Beliau turut menzahirkan rasa sedih dan kecewa terhadap tindakan pihak keselamatan yang menyebabkan kematian pemandu berkenaan.
“Seandainya mereka terbukti bertindak lebih daripada yang sepatutnya, kita akan ambil tindakan sekeras-kerasnya sesuai undang-undang,” katanya dalam video yang dimuat naik di media sosial rasmi.
Probowo turut memberi jaminan kerajaan akan memberi perhatian kepada kebajikan ahli keluarga mangsa. Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
"Kami akan mengadakan pertemuan mengenai perkara ini. Apa yang jelas, kami akan menangani setiap kes satu persatu," kata Listyo kepada pemberita di Jakarta.
Media melaporkan Affan Kurniawan, 21, meninggal dunia selepas dilanggar kenderaan taktikal polis ketika pihak berkuasa cuba menyuraikan demonstrasi yang didakwa menjurus kepada aksi tidak terkawal (anarkis).
Insiden itu mencetuskan kemarahan peserta demonstrasi yang mengejar kenderaan terbabit sehingga ke Markas Briged Bergerak (Brimob) polis di Jakarta Pusat untuk menuntut keadilan.
Ribuan pemandu ojek mengiringi jenazah Affan untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Karet Bivak, Tanah Abang, pada 9.30 pagi tadi waktu tempatan.
Golongan pekerja mengadakan demonstrasi menuntut kebajikan lebih baik dan pembaharuan dasar buruh di kompleks parlimen di Jakarta Pusat pagi semalam.
- BERNAMA