ad

Negeri hasrat terap AI menerusi tuisyen percuma sains, matematik

29 Ogos 2025, 5:23 AM
Negeri hasrat terap AI menerusi tuisyen percuma sains, matematik
Negeri hasrat terap AI menerusi tuisyen percuma sains, matematik

SHAH ALAM, 29 OGOS: Kerajaan Negeri merancang melaksana kaedah pembelajaran subjek matematik dan sains berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) melalui Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS), tahun depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penggunaan AI akan menjadi modul pembelajaran baharu di PTRS bagi meningkatkan pencapaian keputusan kedua-dua subjek itu selain mengadaptasi teknologi dalam kalangan pelajar.

“AI merupakan teknologi untuk pembelajaran sains dan matematik, sebagai intervensi baru yang kita akan perkenalkan dengan kerjasama, sama ada melatih para guru di PTRS.

“Mungkin kaedah pengajaran kurang baik dan pendekatannya kurang menggembirakan berbanding dengan tarikan dekat sosial media, jadi adaptasi perlu dibuat, kandungan (modul) masih sama cuma cara pembelajaran perlu dibaiki melalui AI,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan syarahan kebangsaan di Pusat Konvensyen MBSA di sini, hari ini.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mengibar Jalur Gemilang dalam program Syarahan Kebangsaan Dato' Menteri Besar di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 29 Ogos 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR 

Amirudin yang juga peneraju portfolio pendidikan memberitahu pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor untuk pelaksanaan kaedah pembelajaran teknologi tersebut dalam tempoh terdekat.

“Saya akan umum perincian pelaksanaan kaedah pembelajaran ini pada pembentangan Belanjawan 2026 akan datang dan kita akan lancarkan antara bulan Mac hingga April tahun depan.

“Pembelajaran berasaskan AI juga akan menjadi aktiviti kelas tambahan pada PTRS tetapi tersusun dengan sokongan dari pihak JPN Selangor,” ujarnya lagi.

Penjawat awam mengibar Jalur Gemilang dalam program Syarahan Kebangsaan Dato' Menteri Besar di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 29 Ogos 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memperuntuk RM11 juta bagi melaksanakan PTRS 2025 yang memberi manfaat kepada lebih 160,000 pelajar.

Program tuisyen secara percuma itu memfokuskan bantuan kelas tambahan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan bagi pelajar tingkatan empat dan lima dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) atau prestasi pelajarannya sederhana atau lemah.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.