SHAH ALAM, 29 OGOS: Lebih 50 ahli keluarga, kenalan, dan penduduk setempat hadir menyaksikan proses penggalian semula kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, pagi tadi.
Mereka berkumpul seawal jam 7 pagi dan ditempatkan di bawah khemah disediakan pihak berkuasa, yang terletak dalam radius 50 meter dari Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu, Semenyih.
Antara yang turut hadir ialah Ahli Dewan Negeri (ADN) Semenyih Nushi Mahfodz dan ADN Dusun Tua Datuk Johan Abd Aziz.
Kawasan sekitar tanah perkuburan turut dikawal ketat pihak polis dengan hanya ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, dibenarkan masuk sebagai wakil keluarga dalam proses penggalian semula kubur.
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa lalu memerintahkan penggalian semula kubur Syamsul Haris bagi membolehkan bedah siasat kedua dilakukan dalam tempoh 14 hari bermula tarikh penggalian.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Ummu Haiman.
Mahkamah turut mengarahkan seorang pakar patologi forensik Hospital Kuala Lumpur melakukan bedah siasat kedua terhadap jasad Allahyarham dengan kehadiran Pakar Forensik, Datuk Seri Dr Bhupinder Singh.
Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di Ulu Tiram, Johor.
Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Jawatankuasa Siasatan Khas kematian pegawai kadet Palapes UTM itu mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden berkenaan.