SHAH ALAM, 28 OGOS: Selepas tujuh tahun digubal, Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 akhirnya diluluskan Dewan Rakyat hari ini, hanya tiga hari sebelum sambutan Hari Kebangsaan ke-68.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, menyifatkan kelulusan itu sebagai “hadiah merdeka terbaik” buat kira-kira 1.2 juta pekerja gig di seluruh negara.
“Masih berbaki tiga hari sebelum negara menyambut Hari Kebangsaan, ayuh Parlimen ini sama-sama kita memberikan hadiah merdeka terbaik buat 1.2 juta pekerja gig rakyat Malaysia, dari Perlis hingga ke Sabah.
"Kaum pekerja bukan sekadar jentera ekonomi, jauh lagi hamba kepada golongan pemodal, mereka adalah pembina bangsa dan nusa,” katanya ketika menggulung perbahasan.
RUU tersebut memperuntukkan perlindungan hak pekerja gig, termasuk kewajipan entiti kontrak, pengawalseliaan terma dan syarat perkhidmatan, penubuhan Majlis Perundingan serta Tribunal Pekerja Gig, selain mekanisme lain yang berkaitan.
Selepas diteliti di peringkat jawatankuasa, RUU itu diluluskan di bacaan ketiga tanpa pindaan, dengan sokongan majoriti selepas 23 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan.
Kelulusan ini menandakan pencapaian bersejarah dalam usaha kerajaan memperkukuh jaminan sosial dan perlindungan undang-undang buat pekerja gig, yang sebelum ini berdepan kedudukan tidak menentu dalam ekosistem pekerjaan moden.