ad

Kes kadet UiTM: Peguam keluarga Amir Rusyaidi tuntut siasatan telus

28 Ogos 2025, 11:02 AM
Kes kadet UiTM: Peguam keluarga Amir Rusyaidi tuntut siasatan telus

SHAH ALAM, 28 OGOS: Pasukan peguam yang mewakili Allahyarham Muhammad Amir Rusyaidi Muhammad Zaidi, Pegawai Kadet Pusat Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Udara dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam kini giat mengumpul keterangan daripada saksi untuk disertakan dalam afidavit yang dijangka siap selewat-lewatnya esok.

Menurut peguam, Tun Laila Tun Rafaee dari Chambers of Aminahtul Mardhiah, proses ini penting untuk memastikan siasatan yang adil dan menyeluruh dapat diteruskan.

“Kami sedang berusaha mendapatkan keterangan saksi utama bagi menyokong permohonan afidavit. Ini adalah langkah awal untuk menuntut keadilan bagi keluarga Allahyarham Muhammad Amir Rusyaidi,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Tun Laila turut mendedahkan bahawa tiada proses bedah siasat yang dilakukan ke atas jenazah Allahyarham Muhammad Amir Rusyaidi selepas kematiannya pada 13 November tahun lalu.

Beliau menambah, rekod perubatan hospital menunjukkan punca kematian adalah akibat senaman fizikal berlebihan dan berbeza dengan kenyataan media daripada pihak polis sebelum ini yang menyebut strok haba dan kegagalan pelbagai organ sebagai punca.

"Kami lihat terdapat percanggahan yang ketara antara laporan hospital dan kenyataan rasmi dari pihak polis. Ini menimbulkan persoalan besar terhadap ketelusan siasatan," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Tun Laila juga memberitahu siasatan dalaman oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum ini didakwa terlalu terhad dan tidak menyeluruh dan pihaknya menuntut supaya siasatan penuh dilakukan secara bebas dan telus.

Pada 21 Ogos lalu, media melaporkan ibu bapa Allahyarham Muhammad Amir Rusyaidi Muhammad Zaidi, 25, memohon kertas siasatan kematian anaknya dibuka semula selain kubur digali bagi prosiding inkues dijalankan bagi menentukan punca kematian itu secara menyeluruh.

Kematian Allahyarham Muhammad Amir Rusyaidi merupakan penuntut tahun pertama jurusan Kejuruteraan Mekatronik itu dipercayai ketika menjalani latihan Palapes yang berpunca daripada strok haba dan kegagalan fungsi pelbagai organ.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.