ad

Piala Sultan Selangor 2025: Dua kereta Bezza menanti penonton di Stadium Merdeka

28 Ogos 2025, 12:10 PM
Piala Sultan Selangor 2025: Dua kereta Bezza menanti penonton di Stadium Merdeka

KLANG, 28 OGOS: Penonton Piala Sultan Selangor (TSSC) 2025 berpeluang memenangi dua kereta Perodua Bezza pada malam 27 September di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur nanti.

Pengerusi dan Pengurus Pasukan Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd Karim Munisar berkata, selain itu akan ada dua telefon pintar dan penginapan mewah di Kota Kinabalu dan Melaka.

“Berbanding tahun lepas kita tawar cabutan bertuah sebuah kereta sahaja, tapi tahun ini dua buah kita bagi. Tiket pula sudah 85 peratus habis terjual dan tinggal kurang sebulan sahaja lagi.

“Selain itu penonton juga akan dihiburkan dengan persembahan artis terkenal, Mimi Fly,” katanya kepada Media Selangor selepas majlis penyampaian cek sumbangan TSSC 2025 dan jamuan teh di Istana Alam Shah Klang, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Abd Karim menasihatkan penonton supaya menggunakan pengangkutan awam transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT) dan Monorel.

“Prasarana juga bekerjasama dengan kita dan mereka melanjutkan waktu operasi sehingga jam 12.30 malam,” katanya lagi.

Edisi ke-21 kejohanan itu dijadual berlangsung pada 27 September ini di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur lokasi bersejarah yang kembali dipilih menjadi gelanggang perlawanan buat tahun kedua berturut-turut.

Tahun lalu stadium sama menjadi saksi kehadiran lebih 20,000 penyokong meskipun dalam keadaan hujan lebat, menyaksikan Selangor mengatasi Singapura 2-1 dan mencipta kemenangan hatrik tiga edisi berturut-turut (2019, 2023 dan 2024).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.