SHAH ALAM, 28 OGOS: Mahkamah Koroner Kota Kinabalu membenarkan permohonan pasukan peguam mewakili Noraidah Lamat, ibu Zara Qairina Mahathir menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues kematian anaknya yang dijadual bermula Rabu depan.
Koroner Azreena Aziz yang juga pengarah mahkamah Sabah turut membenarkan permohonan sama dibuat barisan peguam mewakili lima remaja yang dituduh terbabit membuli Zara Qairina pada 20 Ogos lalu, lapor Berita Harian.
Pada 19 Ogos pasukan peguam mewakili Noraidah diketuai Hamid Ismail memfailkan permohonan terbabit, sehari selepas mahkamah membenarkan prosiding inkues diadakan bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina.
Sementara peguam tertuduh membuat permohonan itu semalam melalui Jabatan Peguam Negara (AGC) walaupun dibantah pasukan Noraidah.
Deklarasi terbabit membolehkan anak guam masing-masing untuk memeriksa, menyoal balas saksi dan meneliti dokumen bagi membantu koroner.
Mahkamah turut dimaklumkan kesemua dokumen berkaitan inkues akan diserahkan kepada peguam untuk diteliti sehari sebelum inkues bermula manakala senarai saksi akan di dimaklumkan selewat-lewatnya esok.
Zara Qairina, pelajar tingkatan satu ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sebuah sekolah agama di Papar, Sabah sekitar jam 4 pagi pada 16 Julai lalu.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1), Kota Kinabalu, namun disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya.
Kematian Zara Qairina mendapat liputan meluas termasuk di media sosial apabila ia dikaitkan dengan dakwaan perbuatan buli di sekolah terbabit.