ad

Kapal Korek Sri Banting, Pusat Kusta Sungai Buloh disasar jadi Tapak Warisan UNESCO

28 Ogos 2025, 7:05 AM
Kapal Korek Sri Banting, Pusat Kusta Sungai Buloh disasar jadi Tapak Warisan UNESCO
Kapal Korek Sri Banting, Pusat Kusta Sungai Buloh disasar jadi Tapak Warisan UNESCO

SHAH ALAM, 28 OGOS: Kapal Korek Sri Banting di Pekan Dengkil kini melalui proses baik pulih bagi membolehkan ia diiktiraf sebagai tapak warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata pengiktirafan berkenaan berpotensi menjadikan kapal korek terbesar di dunia itu sebagai tarikan baharu pelancongan negara sekali gus memperkukuh imej Selangor sebagai destinasi warisan.

“Kapal ini masih utuh dan boleh jadi sebagai satu tempat pelancongan. Selepas Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Taman Hutan Selangor (FRIM FPS) mendapat pengiktiraf, kita sasarkan kapal korek ini pula,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau menjelaskan usaha tersebut mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Majlis Perbandaran Sepang.

Selain itu, Borhan memaklumkan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) di Sungai Buloh turut dalam proses sama bagi mendapat pengiktirafan UNESCO.

“Hospital (PKKN) ini unik kerana dalam dunia ada dua sahaja dan ini terbesar di Asia. Jadi kita harap kawasan ini juga boleh dijadikan sebagai tapak warisan dunia,” katanya.

Pada Julai lalu, FRIM FPS diumumkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia ke-47 di ibu pejabatnya di Paris, Perancis.

Malaysia sebelum ini memiliki lima tapak warisan dunia UNESCO iaitu:

  • Taman Kinabalu (2000)

  • Taman Negara Gunung Mulu (2000)

  • Bandar Bersejarah Melaka dan George Town (2008)

  • Warisan Arkeologi Lembah Lenggong (2012)

  • Kompleks Gua Taman Negara Niah (2024)

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.