ad

KPM rekod 7,681 kes buli pada 2024, langkah baharu diperkenal

28 Ogos 2025, 7:03 AM
KPM rekod 7,681 kes buli pada 2024, langkah baharu diperkenal
KPM rekod 7,681 kes buli pada 2024, langkah baharu diperkenal
KPM rekod 7,681 kes buli pada 2024, langkah baharu diperkenal

SHAH ALAM 28 OGOS: Sebanyak 7,681 kes buli direkodkan di sekolah bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sepanjang 2024, membabitkan sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 1,992 kes berlaku di sekolah rendah manakala 5,689 kes melibatkan pelajar sekolah menengah, menurut jawapan bertulis Menteri Pendidikan di Dewan Rakyat pada Selasa.

KPM menegaskan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku buli dan telah melaksanakan pelbagai usaha pencegahan serta intervensi jangka panjang bagi membanteras gejala berkenaan.

Antara pendekatan terkini termasuk pelaksanaan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 12 Tahun 2023 yang menyediakan garis panduan pengurusan kes buli secara menyeluruh serta program seperti ‘Bangkit Bermaruah’ untuk murid yang digantung sekolah.

Bagi memperkukuh keselamatan fizikal dan emosi murid, kementerian turut melaksanakan audit keselamatan, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), menambah bilangan warden, serta memperkenalkan sistem aduan tanpa nama bagi melindungi pengadu.

Program pembentukan sahsiah seperti Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), Duta Sahsiah serta Saringan Minda Sihat juga diperkenalkan bagi mendidik murid mengurus emosi dan membentuk budaya sekolah yang lebih selamat dan inklusif.

Menteri Pendidikan turut memaklumkan kerjasama erat sedang dijalinkan bersama agensi luar termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang bagi memperkemas penguatkuasaan dan perundangan berkaitan buli.

Sebagai langkah jangka panjang, kementerian kini dalam proses penggubalan semula Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) di bawah Akta Pendidikan 1996 bagi memperjelas peranan guru dalam menangani kes disiplin.

Selain itu, kurikulum persekolahan baharu 2027 akan memberi tumpuan kepada pembinaan nilai dan karakter murid sejak prasekolah sebagai asas pembentukan sahsiah dan keperibadian anak-anak.

KPM berharap usaha ini dapat mengurangkan kes buli secara berperingkat dengan penglibatan aktif masyarakat, terutamanya ibu bapa, dalam mendidik dan memantau anak-anak agar tidak terjebak dalam salah laku disiplin.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.