SHAH ALAM, 28 OGOS: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) merampas 13 jenama makanan berbungkus dan berkaling (dalam tin) sedia dimakan yang tamat tempoh, kemek dan berkarat dalam satu operasi di sekitar Jalan Sementa Utama, semalam.
MBDK memaklumkan operasi pemeriksaan fizikal makanan itu dijalankan di lapan premis pasar mini dan kedai runcit dalam usaha memastikan aspek keselamatan makanan sentiasa dipatuhi peniaga.
"Selain rampasan, lima kompaun dikeluarkan atas kesalahan tiada lesen perniagaan, premis dalam keadaan kotor dan tidak membuat kawalan serangga perosak,” menurut kenyataan itu di Facebook MBDK.
Pihak berkuasa tempatan itu menegaskan pengusaha kedai perlu lebih bertanggungjawab dengan sentiasa memantau stok barangan jualan dan memastikan barangan berada dalam keadaan baik serta premis kekal bersih.
“MBDK menasihatkan peniaga agar menjaga kebersihan premis masing-masing dan tidak menjual makanan yang boleh memudaratkan kesihatan pengguna,” katanya.