SUBANG JAYA, 28 OGOS: Selangor menetapkan sasaran kadar penyertaan tenaga buruh wanita mencecah 75 peratus menjelang 2030, berbanding 69.8 peratus ketika ini, menurut EXCO pembangunan wanita.
Anfaal Saari berkata pencapaian semasa itu lebih baik berbanding purata nasional iaitu 58.5 peratus, sekali gus membuktikan negeri ini berada di landasan tepat dalam agenda pemerkasaan wanita.

“Kesaksamaan jantina secara spesifik diukur oleh agensi antarabangsa dan pelbagai usaha dilaksana bagi mengurangkan jurang daripada segi pendidikan, kesihatan, ekonomi dan politik.
“Namun, daripada segi dasar tenaga buruh wanita, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan kadar partisipasi di Selangor 69.8 peratus lebih cemerlang berbanding nasional 58.5 peratus.
“Kita sasar kadar ini mencapai 75 peratus pada 2030 sekali gus meneguhkan kedudukan negeri sebagai peneraju pemerkasaan wanita di Malaysia selain menjadi model rujukan serantau,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Gender Outlook Forum 2025 yang bertujuan meningkatkan kerjasama serantau dalam agenda pemerkasaan wanita dan kesaksamaan gender di peringkat nasional serta antarabangsa.

“Objektif forum ini adalah mengarusperdanakan kesaksamaan gender dalam pembuatan keputusan di semua sektor dasar dan memperkukuh usaha kerajaan dengan meningkatkan kapasiti selaras komitmen global.
“Diharap dengan adanya forum ini menjadi pemangkin kerjasama strategik dan tindakan kolektif untuk mempercepat agenda kesaksamaan gender di Selangor dan rantau Asia Tenggara,” katanya lagi.
Turut hadir isteri perdana menteri Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Sri Nancy Shukri.
