ad

Bomba turunkan Jalur Gemilang terbalik di Selayang

27 Ogos 2025, 9:42 AM
Bomba turunkan Jalur Gemilang terbalik di Selayang

SHAH ALAM, 27 OGOS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor melaksanakan operasi menurunkan Jalur Gemilang yang dipasang terbalik di sebuah premis di Selayang, hari ini.

Jurucakap JBPM negeri berkata pihaknya menerima panggilan 'istimewa' itu daripada anggota polis yang sedang melakukan rondaan di kawasan terbabit kira-kira jam 10.20 pagi.

“Apabila sampai ke lokasi, benar terdapat insiden bendera terbalik seperti yang dimaklumkan oleh pihak polis pada bangunan tingkat satu premis kedai kasut.

“Anggota bomba bertindak memanjat dan menurunkan bendera tersebut dan diserahkan kepada pihak polis. Operasi selesai jam 11.04 pagi,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, JBPM mengamalkan pendekatan no wrong door policy dan sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan dalam apa jua situasi.

Malah, katanya, JBPM juga bukan agensi penguat kuasa yang memperuntukkan hukuman kepada pesalah, selain ikhlas dan terbuka untuk membantu mana-mana pihak.

“Sebagai bangsa yang berdaulat dan merdeka, kita perlu menghormati Jalur Gemilang yang menjadi lambang kemegahan negara, terutamanya dalam bulan kemerdekaan ini,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyeru rakyat Malaysia memainkan peranan masing-masing apabila berdepan pemasangan bendera yang tidak betul.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan mengambil inisiatif membetulkan sendiri Jalur Gemilang tersebut atau menyerahkannya kepada pihak berkuasa.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.