AMPANG JAYA, 27 OGOS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) komited membangunkan kawasan pentadbirannya sebagai bandar pintar selaras dengan aspirasi Kerajaan Selangor melalui Negeri Pintar 2025.
Timbalan Yang Dipertuanya Ts. Hasrolnizam Shaari berkata MPAJ membangunkan Kerangka Bandar Pintar MPAJ pada Januari 2022 serta menetapkan beberapa teras strategik untuk mencapai matlamat tersebut.
“Antara pencapaian utama sejak tiga tahun lepas pemasangan litar kamera tertutup (CCTV) pintar di lokasi tertentu, pembinaan Rangkaian gentian optik, teknologi 5G, sistem Internet Kebendaan (IoT), Wi-Fi awam, lampu pintar dan sensor bandar.
“Pembangunan bandar pintar bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk melalui penggunaan teknologi digital dan data di samping mewujudkan persekitaran bandar yang selamat, cekap dan mesra alam.
“Selain itu, bandar pintar ini juga memacu pertumbuhan ekonomi tempatan melalui inovasi dan transformasi digital dan menyokong pembangunan mampan dan penyampaian perkhidmatan awam lebih efisien,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Sinergi Bandar Pintar Ampang Jaya 2025 yang dirasmikan EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin di Pusat Konvensyen MPAJ, hari ini.
Menurut Hasrolnizam, konvensyen dua hari bermula hari itu merupakan penganjuran julung kali MPAJ, merangkumi seminar, forum dan bengkel interaktif berkaitan teknologi, inovasi, ekonomi serta bahasa.
“Platform strategik ini berjaya menghimpunkan peserta dari dalam dan luar negara termasuk wakil kerajaan, swasta, institusi akademik, pemain industri, usahawan, komuniti dan penyedia teknologi.
“Matlamat utama mengwujudkan sesi jaringan perniagaan dan pelaburan di kalangan peserta. Konvensyen juga menyediakan kolokium pemerkasaan bahasa kebangsaan,” ujarnya.
Pada majlis sama, MPAJ turut memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Theta Telecoms Sdn Bhd bagi konsensi 20 tahun meliputi inisiatif infrastruktur, ekonomi dan komuniti pintar untuk merealisasikan matlamat Bandar Pintar Ampang Jaya.