ad

Bahu jalan di lebuh raya bertingkat tidak mencukupi, risiko kepada penunggang motosikal

27 Ogos 2025, 6:17 AM
Bahu jalan di lebuh raya bertingkat tidak mencukupi, risiko kepada penunggang motosikal

SHAH ALAM, 27 OGOS: Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) tidak menggalakkan motosikal menggunakan lebuh raya bertingkat kerana laluan tersebut tidak mempunyai lorong kecemasan atau bahu jalan mencukupi.

Ketua Pengarahnya Prof Madya Ts Dr Siti Zaharah Ishak berkata kombinasi jajaran mendatar dan menegak yang tajam di lebuh raya bertingkat juga boleh menyebabkan penunggang gagal menyesuaikan kelajuan atau posisi, sekali gus berisiko tinggi kemalangan.

"Ketinggian struktur jejambat yang menjadikan sebarang insiden kehilangan kawalan lebih berisiko tinggi, khususnya kemungkinan penunggang boleh tercampak keluar dari struktur lebuh raya.

"Pemerhatian awal menunjukkan bahawa geometri lebuh raya bertingkat perlu diberi perhatian daripada sudut keselamatan penunggang motosikal," katanya kepada Media Selangor.

Beliau mengulas kes kemalangan di Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Prof Madya Ts Dr Siti Zaharah Ishak

Pada 24 Ogos lalu, seorang pelajar kolej swasta maut selepas motosikal ditunggang terbabas sebelum terjatuh dari 'flyover' Lebuhraya DASH pada ketinggian 21 meter di susur 1/B 0.5, di sini.

Ia adalah nahas ketiga selepas kejadian sama pada 26 Julai lalu, membabitkan lelaki berusia 23 tahun yang maut apabila motosikal ditunggangnya dipercayai terbabas lalu terjatuh pada ketinggian 21 meter di susur 1/B 0.5 lebuh raya sama.

Insiden pertama pada 19 Oktober 2022 membabitkan sebuah motosikal jenis SYM VF3I yang ditunggang lelaki berusia 24 tahun terbabas sebelum terjatuh ke atas jalan di Kilometer (KM) 15.7 DASH dekat Penchala.

Mengulas lanjut, Siti Zaharah berkata MIROS telah memohon kepada pihak berkaitan untuk memberi kebenaran bagi menjalankan siasatan terperinci di lokasi kemalangan motosikal.

Katanya, faktor permukaan jalan licin ketika hujan, keberkesanan saliran dan penanda jalan di lokasi kejadian merupakan antara elemen penting yang biasanya akan diteliti dalam pemeriksaan.

"Setakat ini MIROS tidak menerima sebarang laporan rasmi berkenaan isu permukaan jalan di lokasi kejadian daripada pihak konsesi atau pihak berkuasa teknikal.

"Permohonan ini perlu supaya pelaksanaan pelan pengurusan trafik dilakukan demi keselamatan pasukan pemeriksaan jalan dan kelancaran pengumpulan data," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.