SHAH ALAM, 27 OGOS: Cinta kepada tanah air bukan hanya nilai budaya tetapi sebahagian daripada tuntutan agama yang wajib dihayati setiap rakyat, tegas EXCO Agama Islam.
Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata perkara itu jelas dalam doa Rasulullah SAW ketika berhijrah ke Madinah, yang memohon kepada Allah agar ditanamkan rasa cinta terhadap kota itu melebihi kecintaan kepada Makkah.

“Ini menunjukkan rasa cinta kepada tanah air bukan asing daripada ajaran Islam. Ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab agama yang perlu dipertahankan dan diwarisi generasi akan datang,” katanya.
Beliau berucap pada Program Diskusi Kemerdekaan Mengukuhkan Semangat Hubbul Watan anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), di sini, semalam.
Menurutnya, kemerdekaan tidak sekadar bermaksud bebas daripada penjajahan, sebaliknya menuntut tanggungjawab untuk memajukan negeri dan negara.
“Bangsa merdeka mestilah berjati diri, berdisiplin serta berakhlak mulia dengan menjadikan ilmu dan iman sebagai tiang seri kehidupan,” jelasnya.
Fahmi turut menegaskan Malaysia adalah negara berdaulat dengan sistem Islam yang telah lama wujud sebelum kedatangan penjajah, termasuk institusi raja, kadi dan urusan nikah kahwin.
Sejarah itu, katanya, menjadi asas penting kepada pembinaan negara berperlembagaan yang kekal hingga kini.
Beliau menambah, bentuk jihad pada masa kini bukan lagi mengangkat senjata tetapi mempertahankan negara melalui ilmu, integriti, perpaduan dan nilai murni.
“Dengan cara itu, kita bukan sahaja menjaga keamanan tetapi juga memastikan negara terus melangkah maju.
“Diharap dapat menjadi medan mencabar idea, menyemai semangat patriotisme dan mengukuhkan rasa cinta kepada tanah air,” ujarnya.
Fahmi turut mengajak rakyat bersama melahirkan generasi pewaris bangsa yang berilmu, beriman, berakhlak mulia serta bersemangat juang demi memastikan nikmat kemerdekaan terus terpelihara.