SHAH ALAM, 27 OGOS: Kursus perkahwinan dicadang dimasukkan dalam modul Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi memberi pendedahan awal kepada belia tentang persediaan membina rumah tangga.
Pegawai Pendidikan Remaja Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Muhammad Irfan Fahmy Mohamad Zahari berkata PLKN merupakan platform terbaik kerana menyasarkan golongan muda yang sedang membentuk hala tuju kehidupan.

“Pentingnya golongan muda ini tahu berkenaan perkahwinan dan hukum hakam. Tidak perlu yang berat-berat, cukup perkara asas dahulu.
”Sebab perkahwinan ini nampak mudah, tapi sebenarnya sangat berat,” katanya pada Seminar Kependudukan Negeri Selangor 2025 di Pusat Konvensyen Ideal, semalam.

Beliau menjelaskan antara faktor utama belia lambat berkahwin ialah isu kestabilan ekonomi dan tekanan keluarga.
“Mereka takut untuk berkahwin sebab risau komitmen dan ekonomi apabila menjadi ketua keluarga. Remaja dan belia dari awal perlu belajar mengawal perbelanjaan, sebab bila berkahwin kita bukan uruskan diri sendiri tetapi juga keluarga,” katanya.
Sementara itu, Pakar Perubatan Keluarga Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Dr Siti Umi Fairuz Azmi pula mencadangkan agar sesi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dijadikan ruang menambah ilmu keibubapaan.

“Jika ibu bapa diberi pendedahan lebih awal, ia boleh membantu membentuk keluarga yang lebih sihat dari segi mental, emosi dan spiritual,” jelasnya.
Namun, beliau mengakui cadangan itu perlu diteliti dari segi kesesuaian pelaksanaan serta penerimaan masyarakat. Dalam masa sama, persediaan berumah tangga tidak boleh hanya bergantung pada kewangan semata-mata.
“Tempoh matang otak manusia sebenarnya berlaku sekitar umur 25 tahun. Sebab itu usia ini dianggap lebih sesuai untuk berkahwin kerana tahap pemikiran lebih stabil berbanding terlalu awal atau terlalu lewat.
“Namun bila masuk umur 30 tahun ke atas, risiko untuk mendapat anak dengan masalah kesihatan lebih tinggi kerana hormon mula menurun,” katanya.
Dr Umi turut menegaskan faktor trauma juga perlu diberi perhatian kerana ia boleh mempengaruhi keputusan seseorang untuk berkahwin.
“Trauma akibat tekanan keluarga, kemiskinan atau pengalaman lampau boleh menyebabkan seseorang menolak perkahwinan. Sebab itu kita perlu cakna isu ini dari awal,” tambahnya.