SHAH ALAM, 27 OGOS: Liga Usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) Selangor Youth Community (SAY LEAD) terus membuktikan keberkesanannya apabila ramai peserta mengakui program itu berjaya meningkatkan strategi jualan serta pemasaran dalam talian.
Juara SAY LEAD edisi keenam Nur Sabrina Md Salleh, 30, berkata penyertaannya dalam program tersebut memberi impak besar terhadap perniagaannya sehingga jualan pemanis mulut yang diusahakan melonjak 60 peratus.

“Dulu saya bermula tanpa sebarang pengetahuan dalam perniagaan tetapi selepas sertai SAY LEAD kini saya faham cara bina kepercayaan pelanggan, strategi media sosial dan pengurusan kewangan asas.
“Alhamdulillah, selepas sertai SAY LEAD hasil jualan meningkat 60 peratus. Impian saya selepas ini adalah untuk membuka kedai dan lebih dikenali,” katanya yang turut dibantu jurubahasa Hafidah Awaludin ketika ditemui di Sunway Resort Hotel di sini semalam.

Majlis itu turut menyaksikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menobatkan tiga Ikon Usahawan OKU Selangor, dengan Nur Sabrina dinobatkan juara, diikuti Norhaiza Selamat (usahawan kraftangan/OKU pendengaran) sebagai naib juara dan tempat ketiga milik Azura Othman (usahawan sambal/OKU fizikal).
Naib juara, Norhaiza, turut mengakui SAY LEAD banyak membantunya meningkatkan keyakinan diri terutama ketika membuat siaran langsung di media sosial.

“Syukur dengan peluang diberikan ini. Sebelum sertai SAY LEAD, saya kurang mahir menghasilkan kandungan TikTok dan tidak pandai membina ayat yang berkesan.
“Namun, selepas ikuti kelas mereka Alhamdulillah saya kini lebih yakin berkarya di TikTok termasuk membina ayat power dengan bantuan ChatGPT, Canva dan beberapa alat digital lain,” katanya.
SAY LEAD edisi keenam yang bermula Mei lalu menghimpunkan 30 peserta yang mengikuti kursus profil keusahawanan, model perniagaan kanvas, rancangan perniagaan, penjenamaan, pendigitalan pemasaran serta pengurusan kewangan.
Peserta juga berpeluang menyertai bengkel, pembentangan perniagaan dan sesi perkongsian bersama pelbagai agensi bagi memperkukuh daya saing dalam dunia keusahawanan.
