Selepas 16 tahun beroperasi, Media Selangor Sdn Bhd terus melangkah ke fasa baharu dengan visi lebih besar, strategi transformasi organisasi dan penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam operasi serta produk editorialnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree berkata syarikat itu mahu terus kekal relevan dan diyakini rakyat, bukan sahaja sebagai media rasmi negeri malah antara peneraju media di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

“Untuk kita kekal relevan, kita perlu sentiasa bersedia melakukan perubahan, kadangkala perubahan itu berlaku dalam sekelip mata sahaja.
“Selain kreativiti dan konsistensi kandungan, perkara paling penting adalah membina kepercayaan pembaca terhadap berita yang disampaikan,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Fareed menambah, Media Selangor juga memikul tanggungjawab menyebarkan mesej kerajaan negeri secara meluas melalui pelbagai medium termasuk akhbar cetak, TV digital dalaman (IDM), papan iklan digital, serta platform dalam talian.
“Harapan saya, pasukan Media Selangor sentiasa terbuka mendepani perubahan, berani mencuba perkara baharu dan tidak takut untuk memperbaharui pengalaman serta kemahiran,” ujarnya.

Media Selangor latih wartawan, kakitangan serba boleh
Menurut Fareed, syarikat melaksanakan projek 'Convergence' yang menyatukan pasukan editorial, kreatif dan teknikal ke arah budaya kerja lebih dinamik.
Jelasnya, jika sebelum ini jurugambar hanya mengambil foto, juruvideo hanya merakam video dan wartawan hanya menulis berita, kini setiap kakitangan perlu menguasai pelbagai kemahiran.
“Wartawan Media Selangor hari ini bukan sahaja menulis berita, mereka juga mengambil gambar, merakam video, menjadi hos atau menghasilkan suara latar dan 'upskilling' dan 'reskilling' ini penting supaya kita tidak ketinggalan dengan perkembangan AI,” katanya.
Beliau menegaskan, kemahiran tambahan bukan sahaja memberi nilai tambah kepada syarikat tetapi juga membina kerjaya individu untuk jangka panjang.
AI bantu, bukan ganti wartawan
Dalam aspek teknologi, Fareed menegaskan penggunaan AI dalam industri media bertujuan membantu dan melengkapkan kerja wartawan, bukan menggantikan peranan mereka.
Katanya, meskipun AI berupaya mengambil alih beberapa fungsi teknikal, wartawan tetap memiliki kelebihan tersendiri dalam menghasilkan karya berkualiti yang sarat dengan sentuhan manusia.
“AI sangat membantu mempercepatkan gerak kerja, tetapi wartawan masih mempunyai keunikan yang belum boleh digantikan. Namun saya tidak menolak dalam masa terdekat AI mampu mengambil alih beberapa fungsi wartawan,” jelasnya.

Tambahnya, Media Selangor sentiasa menerapkan teknologi AI bukan sahaja dipraktikkan pada produk editorial, malah diperluas ke aspek operasi syarikat selaras dengan aspirasi Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) untuk memperkukuh inovasi dan keberkesanan organisasi.
Media Selangor berwajah baharu: Satu portal, empat bahasa
Fareed berkata, transformasi digital syarikat diperkukuh dengan pelancaran laman web baharu mediaselangor.com pada 25 Ogos lalu.
Platform tunggal ini menggabungkan semua portal terdahulu iaitu Selangor Kini, Selangor Journal, Selangor Indru dan Selangor Mandarin, selain menampilkan elemen penstriman Selangor TV.
“Ciri mesra pengguna sangat dititikberatkan, dalam satu laman, pengguna boleh menukar bahasa, mencari artikel dengan mudah, melihat gambar dengan lebih jelas, malah mendengar bacaan berita menggunakan AI,” katanya.
Menurutnya, usaha itu menjadi titik tolak penting bagi Media Selangor untuk terus berkembang dan memenuhi keperluan pembaca dalam era digitalisasi.
