ad

Empat strategi dalam RMK13 hadapi penuaan populasi negara

26 Ogos 2025, 1:45 PM
Empat strategi dalam RMK13 hadapi penuaan populasi negara

SHAH ALAM, 26 OGOS: Kerajaan akan melaksanakan empat strategi utama dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi menangani fenomena penuaan populasi negara, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata strategi berkenaan merangkumi pendekatan menyeluruh melibatkan semua kementerian melalui konsep 'whole-of-nation approach', khususnya dalam aspek penjagaan jangka panjang atau 'long-term care'.

“Antara yang ditumpukan ialah menggalakkan lebih ramai tenaga kerja terlibat dalam sektor ekonomi penjagaan supaya warga emas boleh dijaga di rumah tanpa perlu berpindah ke rumah jagaan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, katanya, pasaran buruh dan pembangunan kemahiran juga diberi perhatian dengan menggalakkan mereka yang telah bersara tetapi masih berupaya untuk terus menyumbang kepada ekonomi melalui pekerjaan sampingan.

Amir Hamzah berkata strategi ketiga melibatkan penambahbaikan aspek fizikal dan perlindungan sosial, termasuk sokongan kementerian melalui aktiviti yang dapat memastikan warga emas terus aktif dalam masyarakat.

“Strategi terakhir pula memberi tumpuan kepada kesejahteraan warga berusia, khususnya dari segi simpanan persaraan. KWSP sedang mengkaji cadangan supaya sebahagian simpanan boleh dikeluarkan secara sekaligus apabila mencapai umur persaraan, manakala bakinya disalurkan secara bulanan bagi memastikan kewangan yang cukup dalam jangka panjang,” katanya.

Beliau menegaskan, kesemua langkah tersebut penting bagi memastikan negara bersedia sepenuhnya dalam menghadapi cabaran penuaan populasi yang semakin ketara.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.