SHAH ALAM, 26 OGOS: Sebarang perkara membabitkan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) wajar diambil kira dan diteliti secara menyeluruh.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bagaimanapun pihaknya mengalukan pelaksanaan akta tersebut memandangkan ia mampu memberi nafas baharu khususnya kawasan bandar lama.
Jelasnya Selangor merupakan antara negeri yang terdedah dengan cabaran kawasan bandar yang usang dan uzur sekali gus memerlukan pembangunan dijalankan.
"Kalau URA jadi, ia akan memberi ruang untuk bangunkan semula kawasan uzur antaranya di Ampang, Gombak, Hulu Langat. Saya rasa aspek itu akan membantu kita cuma kita perlu teliti beberapa tentangan melibatkan isu-isu.
"Secara keseluruhannya saya percaya URA ini diperlukan oleh mana-mana pentadbiran dan pemerintah. Kalau tidak kita akan membiarkan kawasan itu terus susah tanpa dibangunkan semula," katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang 2025 Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini hari ini.
Minggu lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata bacaan kedua dan ketiga RUU berkenaan dijadualkan esok.
Ia akan memberi hala tuju baharu dalam memastikan pembangunan bandar di Malaysia kekal mampan, maju, makmur dan inklusif.
Pagi tadi ahli parlimen kerajaan mengingatkan penolakan terhadap RUU URA 2025 boleh memberi kesan dan menjejaskan nasib rakyat khusus yang tinggal dan mempunyai harta pemilikan di kawasan usang, uzur dan tidak selamat.
Antaranya Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof yang berpandangan akta itu tidak mengambil hak Melayu dan Bumiputera sebaliknya dapat membela masyarakat dan kawasan boleh dibangunkan semula dengan syarat sangat ketat.