ad

Lelaki dicari bantu siasatan kes tikam bekas isteri

26 Ogos 2025, 10:42 AM
Lelaki dicari bantu siasatan kes tikam bekas isteri

SHAH ALAM, 26 OGOS: Polis giat memburu lelaki warga Indonesia bagi membantu siasatan kes tikam seorang wanita yang juga bekas isterinya di Banting, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata pihaknya percaya suspek turut membawa sebilah pisau yang dipercayai digunakan ketika kejadian.

Beliau berkata polis percaya motif kejadian disebabkan suspek berumur 45 tahun itu tidak berpuas hati dengan mangsa yang juga warga Indonesia selepas mereka bercerai.

"Suspek turut menuduh majikan mangsa menghasut mangsa untuk tidak merujuk semula hubungan sebagai suami isteri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Akmalrizal berkata suspek dikenali sebagai Sanusi Saripin itu telah setahun bercerai dengan isterinya.

Semalam, Mohd Akmalrizal mengesahkan seorang wanita warga Indonesia mengalami pendarahan dalaman akibat ditikam di bahagian kiri perut dalam kejadian kira-kira 8.50 pagi di Jalan Redan Kanchong Darat, Banting, dekat sini.

Mangsa berusia 44 tahun dibawa ke unit kecemasan zon merah Hospital Banting untuk rawatan lanjut.

Menurut Mohd Akmalrizal, pihaknya sudah menghubungi pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Unit K9 Bukit Aman untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.