SHAH ALAM, 26 OGOS: Kemampuan negeri dalam menyedia keperluan terutama dalam sektor ekonomi menyumbang pertambahan kira-kira dua juta penduduk dalam tempoh 10 tahun ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kadar ini terus bergerak konsisten meskipun ketika ini negeri berdepan dengan jumlah kelahiran yang rendah.
“Bila sebut tentang Malaysia, Selangor akan menjadi pilihan. Sama ada melibatkan pelaburan, perniagaan atau aktiviti lain. Ini dibuktikan dengan pertumbuhan agresif penduduk.
“Ini bermakna migrasi penduduk ke sini agak tinggi. Kenapa mereka datang? Ini disebabkan peluang dan kegiatan ekonomi yang tinggi,” katanya.
Beliau berucap pada sambutan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini.
Dalam majlis berkenaan, Amirudin menyampaikan anugerah kepada 66 kakitangan yang menunjukkan khidmat cemerlang sepanjang 2024 termasuk 16 menerima Anugerah Khas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang julung kalinya diperkenalkan.
Majlis sama turut meraikan 30 kakitangan perkhidmatan lama yang telah berkhidmat selama 20, 25 dan 30 tahun, selain memberi penghargaan kepada 13 pesara sebagai mengenang jasa.