ad

Trend kahwin lambat punca kadar kesuburan rendah di Selangor

26 Ogos 2025, 12:04 PM
Trend kahwin lambat punca kadar kesuburan rendah di Selangor

SHAH ALAM, 26 OGOS: Trend kahwin lewat dikenal pasti menjadi antara punca utama kadar kesuburan rendah di Selangor, iaitu hanya 1.5 anak bagi setiap wanita, jauh di bawah paras penggantian generasi 2.1.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata, perkahwinan pada usia lewat mengurangkan tempoh produktif generasi muda, yang lazimnya terhad sebelum mencecah usia 40 hingga 50 tahun.

"Generasi Z berdepan cabaran seperti memberi keutamaan kepada pendidikan tinggi, kestabilan kerjaya serta kos sara hidup yang meningkat. Faktor-faktor ini sekali gus menyumbang kepada kadar kesuburan yang rendah," katanya.

Dalam konteks dasar, katanya Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) kini sedang menggubal Dasar Keluarga Negara dan Pelan Tindakan 2026–2030 bagi memperkukuh institusi keluarga di Malaysia.

"Dasar ini akan menjadi panduan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri untuk melaksanakan program berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada kesejahteraan keluarga," jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Kependudukan Negeri Selangor 2025 (SKNS 2025) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini.

Program anjuran LPPKN dengan kerjasama Kerajaan Negeri melalui Portfolio Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat serta Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) itu merupakan siri kedua bersempena sambutan Hari Penduduk Sedunia 2025.

Seminar bertemakan 'Membentuk Keluarga dalam Kalangan Generasi Z' memberi tumpuan kepada cabaran golongan muda yang lahir antara 1997 hingga 2012 dalam membina keluarga stabil dan lestari.

Selain meningkatkan kesedaran mengenai isu kependudukan, seminar ini juga menjadi platform perbincangan strategik yang menghimpunkan penggubal dasar, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan masyarakat bagi merangka cadangan penyelesaian berkesan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.