SHAH ALAM, 26 OGOS: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan usahawan kecil kekal berdaya saing.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan, berkata usaha itu termasuk memperkasa pendigitalan melalui studio TikTok, platform MyMall serta program bimbingan oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan TEKUN Nasional.
“KUSKOP juga menyediakan padanan perniagaan menerusi program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) selain menganjurkan program seperti Hari Peniaga dan Penjaja Kecil (HPPK), Jualan Madani Koperasi dan karnival keusahawanan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman mengenai langkah kerajaan menjaga kelangsungan peniaga kecil susulan pelaksanaan Jualan Rahmah dan SARA yang menawarkan harga lebih rendah.
Menurutnya, kerajaan turut membangunkan 98 projek tamu desa di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan melebihi RM18 juta tahun ini, bagi menyediakan ruang niaga lebih baik dan meningkatkan taraf ekonomi luar bandar.
Ramanan menegaskan, usaha berterusan ini mencerminkan keprihatinan kerajaan memperkasa peniaga kecil sebagai nadi ekonomi tempatan seiring aspirasi Malaysia Madani.